bisnes

Tengah bercambah

Oleh Sofyan Rizal Ishak

KUALA LUMPUR: Industri dompet digital (e-dompet) negara dijangka lebih kukuh pada masa depan berikutan penyertaan lebih ramai pemain dalam industri terbabit dan penerimaan positif terhadap teknologi tanpa tunai itu dalam kalangan rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital Services Sdn Bhd Mohd Khairil Abdullah berkata, pada masa ini terdapat 45 syarikat memperoleh lesen pengeluar wang elektronik (e-money) yang membabitkan lima institusi perbankan dan 40 institusi bukan perbankan.

“Sebelum ini, semua pemain dompet digital memiliki jumlah pengguna kecil dan orang ramai juga memiliki pengetahuan terhad serta bersikap berhati-hati namun kini ia semakin berubah.

“Impak setiap pemain yang memperkenalkan e-dompet kini menjadikan industri ini semakin positif dan pengguna juga semakin menerima baik dan terdidik dengan teknologi ini,” katanya di sini.

Beliau berkata, syarikatnya melalui jenama Boost optimis trend penggunaan e-dompet akan bertambah baik dan menjadi lebih positif pada tahun ini berbanding tahun lalu.

Menurutnya, keyakinan terbabit berdasarkan pencapaian aplikasi e-dompet Boost yang mencatatkan trend memberangsangkan melalui jumlah transaksi aplikasi untuk pembayaran parkir kereta, bil utiliti, makanan dan minuman.

Pada masa ini, Boost memiliki 3.6 juta pengguna bagi aplikasi e-dompet dan 63,000 titik jualan peniaga.

Sementara itu, Pengarah Urusan GrabPay Malaysia, Singapura dan Filipina Ooi Huey Tyng berkata, pihaknya mengakui pasaran e-dompet sedang berkembang pesat berdasarkan jumlah lesen yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) namun transaksi tunai didapati masih banyak digunakan dengan hampir 80 peratus penduduk di Malaysia masih memilih urus niaga secara tunai.

“Kita sebenarnya sedang menuju ke arah yang tepat namun pembayaran mudah alih memerlukan kerjasama daripada semua pemain dalam industri ini terutama pengawal selia bagi memastikan pelaksanaannya menjadi lebih berkesan,” katanya.

Menurutnya, syarikat melihat inisiatif daripada pihak berkuasa di Malaysia yang memainkan peranan sama dengan sistem seperti DuitNow dan Platform Pembayaran Runcit masa sebenar Paynet akan menetapkan asas bagi memacu pertumbuhan pembayaran tanpa tunai di negara ini.

Sejak dilancarkan pada pertengahan 2018, Grab Pay mencatatkan sambutan baik dalam kalangan pengguna dengan peningkatan stabil kepada 20 peratus bagi transaksi minggu ke minggu dan peningkatan asas peniaga sebanyak empat kali di lapan bandar dengan peningkatan peratusan sama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go Sdn Bhd (TNG) Syahrunizam Samsudin berkata, segmen e-dompet mempunyai prospek meluas untuk dikembangkan berikutan ia mempunyai pelbagai kelebihan untuk dimanfaatkan.

Bagaimanapun, katanya, ia bukanlah satu usaha untuk jangka masa pendek kerana memerlukan komitmen jangka panjang di samping pelaksanaan dengan inovasi secara berterusan.

“Seperti TNG yang berada dalam industri sejak 20 tahun, maka kami akan menggandakan usaha untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran pelbagai pemain e-dompet sejak kebelakangan ini adalah isyarat positif bagi mewujudkan persaingan yang lebih baik dan kompetitif.

TNG adalah antara pemain dompet digital di negara ini melalui produk dikenali Touch N Go e-Wallet yang dihasilkan oleh TNG Digital Sdn Bhd iaitu syarikat usaha sama antara TNG dan Ant Financial Services Group.

Aplikasi itu kini memiliki lebih 2.3 juta pengguna dan menyasarkan 70,000 peniaga menjelang hujung tahun ini.

Disiarkan pada: June 10, 2019 @ 9:19am
d