bisnes

Meningkat 51.3%

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (Proton) mencatatkan jualan sebanyak 10,611 unit kereta pada Mei lalu sekali gus menjadikan ia sebagai jualan tertinggi dalam tempoh 46 bulan.

Prestasi pada bulan itu adalah peningkatan sebanyak 51.3 peratus berbanding April seterusnya menjadi pendorong kepada pertumbuhan jualan keseluruhan bagi lima bulan pertama 2019 kepada lebih 70 peratus.

Selain itu, peratusan pegangan pasaran bagi bulan itu juga dianggarkan pada 17.2 peratus, menandakan satu lagi kejayaan cemerlang syarikat kereta nasional itu sejak Januari 2016.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong berkata, pertumbuhan jualan Proton yang kukuh pada 2019 diterajui oleh model yang menawarkan ciri pintar.

Beliau berkata, dengan peningkatan jumlah jualan sebanyak 70 peratus pada tahun ini, Proton menerima hasil untuk pelaburannya pada produk, kakitangan serta cawangan jualan.

“Syarikat berharap dapat mengakhiri keseluruhan jualan di tempat kedua dalam bulan kedua berturut-turut apabila angka jualan industri keseluruhan dikongsi oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

“Malah, kami juga yakin dapat mengekalkan prestasi jualan yang mantap pada sepanjang tahun ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Jualan tertinggi dalam tempoh 46 bulan itu kebanyakan disumbangkan oleh pertumbuhan kukuh dari Proton X70 yang menjadi model pilihan utama bagi kelas kenderaan utiliti sukan (SUV) premium dan eksekutif.

Sebanyak 2,439 unit Proton X70 dijual pada Mei dan secara keseluruhan, sebanyak 13,572 unit diserahkan kepada pelanggan dalam tempoh lima bulan pertama 2019 menjadikan model itu kekal sebagai peneraju pasaran SUV dalam jualan keseluruhan.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 10:45am
d