bisnes

Tarik pelabur asing dirikan 10 kilang produk berasas kayu

Oleh Helmy Abd Rahman

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan mendirikan 10 kilang pengeluaran pelbagai produk berasaskan kayu di kawasan seluas 40.4 hektar di Taman Inovatif Wakaf Tapai, Marang.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, kilang terbabit dijangka menarik 10 pelabur asing yang sudah menyuarakan hasrat dan memberi komitmen untuk melabur di kawasan berkenaan.

“Buat masa ini kerajaan negeri sedang berunding dengan gabungan dewan perniagaan masing-masing Melayu, Cina dan India untuk wujudkan 10 lot kilang bagi industri berasaskan kayu.

“Paling lewat, kita jangka semua 10 kilang akan didirikan di situ awal tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di Majlis Sambutan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang di Stadium Negeri.

Menurutnya, pembinaan kawasan itu akan dibiayai gabungan dewan perniagaan terbabit manakala pelabur hanya datang melabur.

“Bermacam-macam produk kayu akan dihasilkan di situ dan pelabur terbabit sudah menyatakan kesediaan untuk datang, tetapi tempat (kilang) belum siap lagi,” katanya.

Tengku Hassan berkata, kerajaan negeri turut menerima banyak pertanyaan dan cadangan daripada pelabur asing mengenai industri bioteknologi di Taman Biopolymer di Kertih, Kemaman termasuk hasrat mewujudkan kilang pengeluaran gula daripada kayu bagi kegunaan perubatan.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 11:02am
d