bisnes

Proton Edar bentuk syarikat usaha sama baharu

Oleh Nabil Basaruddin

PROTON Edar Sdn Bhd, bahagian pengedaran kereta dan aksesori Proton Holdings Bhd membentuk syarikat usaha sama baharu bersama Altel Communications Sdn Bhd dan ECarX (Hubei) Technology Co Ltd dari China.

Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, syarikat usaha sama yang baharu itu akan memberi manfaat kepada Proton dalam pelbagai cara khususnya dalam bidang teknologi digital dan sistem sambungan kereta.

Beliau berkata, penggunaan ciri-ciri dalam bidang sambungan kereta kini menjadi trend antarabangsa dan dijangka menjadi salah satu pemacu utama jualan automotif pada masa depan.

Katanya, menerusi perjanjian terbabit, Proton mengambil langkah ke hadapan dalam perancangannya untuk menjadi jenama automotif yang menawarkan produk-produk bertaraf global.

“Kerjasama seperti ini membolehkan syarikat mendapat kedudukan yang lebih tinggi dalam penyelesaian ketersambungan kereta yang sedang berkembang pesat dan meningkatkan asas pengetahuan jurutera penyelidikan dan pembangunan di Proton.

Menurutnya, ia juga membolehkan mereka menerokai pelbagai kemungkinan untuk mengembangkan penyelesaian ketersambungan ke pasaran eksport Proton, terutama di negara Asean yang berdekatan.

“Ini akan memberi Proton satu kelebihan teknologi di mana industri automotif kini menuju ke peringkat seterusnya dalam penyelesaian mobiliti,” katanya dalam kenyataan di Tanjung Malim, hari ini.

Kenyataan itu adalah susulan selepas kunjungan hormat Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Miao Wei ke kilang Proton di Tanjung Malim.

Turut Hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith; Pengerusi Zhejiang Geely Holding Group, Li Shufu; Pengerusi DRB-Hicom, Datuk Mohammad Zainal Shaari; Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed.

Dalam lawatan terbabit , Miao Wei turut diberi taklimat mengenai perancangan perniagaan semasa dan masa depan Proton.

Syed Faisal berkata, Proton juga sudah menjalankan pengeluaran percubaan Proton X70 di kilang pemasangan baharu Proton di Tanjung Malim bernilai RM1.2 billion yang hampir siap dibina.

Menurutnya, Proton berhasrat untuk memulakan pengeluaran X70 di Tanjung Malim pada separuh kedua tahun ini dan sedang berusaha keras untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 6:46pm
d