bisnes

Ganjaran DriveMark

Oleh Sofyan Rizal Ishak

KUALA LUMPUR: Katsana Holdings Sdn Bhd (Katsana), syarikat telematik tempatan berhasrat untuk menerokai pasaran di Thailand melalui aplikasi telematik mudah alih yang dibangunkannya iaitu DriveMark dalam tempoh tiga bulan akan datang.

DriveMark adalah aplikasi telefon pintar yang menggalakkan pemanduan selamat dan berhemah melalui carta markah pemandu dan memberi ganjaran seperti diskaun petrol, tol dan insurans kenderaan kepada pemandu yang menampilkan corak pemanduan selamat.

Pengasas dan Pengarah Urusan Katsana, Syed Ahmad Fuqaha Sd Agil berkata pada masa ini aplikasi itu sudah berada di pasaran Indonesia pada Mei lalu dan ia menerima sambutan menggalakkan dalam kalangan pengguna di negara terbabit.

“Selepas ini, kami berhasrat untuk menerokai pasaran di Vietnam seterusnya di rantau Asia Tenggara dalam tempoh jangka panjang,” katanya pada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya mula menjalinkan kerjasama dengan tiga syarikat insurans iaitu Etiqa Insurance, Etiqa Takaful dan Allianz Malaysia pada 2017 bagi memberi ganjaran insurans peribadi kepada pengguna DriveMark yang menampilkan pemanduan berhemah.

Melalui kerjasama itu, Katsana akan memanfaatkan pengalamannya dalam bidang telematik dan data besar untuk menyediakan platform insurans berasaskan pengguna kepada kedua-dua syarikat insurans terbabit.

Menurutnya, pengguna akan menerima premium insurans yang lebih rendah dengan menjejaki tingkah laku pemanduan mereka dengan menggunakan aplikasi DriveMark.

“Selain itu, kami sendiri menawarkan pulangan tunai insurans kenderaan sehingga 15 peratus bagi pengguna yang memiliki skor tinggi dalam DriveMark,” katanya.

Fuqaha berkata, sehingga kini DriveMark sudah mencatatkan 57,000 muat turun membabitkan pengguna di Malaysia dan menyasarkan 200,000 muat turun di Asia Tenggara menjelang hujung tahun ini disumbang aktiviti perluasan di pasaran serantau.

Menurutnya, syarikat akan memberi fokus kepada perluasan pasaran pada tahun ini bagi meningkatkan lagi jumlah pengguna dan keyakinan syarikat insurans bagi mengurangkan jumlah tuntutan disebabkan kemalangan oleh pemandu.

“Kami juga kini berbincang dengan lima penyedia insurans kenderaan lain bagi menggunakan aplikasi ini dan hasilnya dijangka dapat dimuktamadkan menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Katsana mula membangunkan aplikasi DriveMark pada 2016 melalui pelaburan yang diterima daripada Dana Inovasi Digital Axiata (ADIF) iaitu dana modal teroka (VC) yang diwujudkan hasil kolaborasi antara Axiata Group Bhd, Malaysia Venture Capital Management Bhd (Mavcap) dan Johor Corporation Berhad (JCorp).

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 7:30am
d