bisnes

Tingkat kapasiti 100,000 komponen aeroangkasa sebulan

Oleh Nabil Basaruddin dan Faliq Lajim

SUBANG: Senior Aerospace UPECA Aerotech Sdn Bhd (Senior Aerospace) yakin dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran sehingga 140 peratus kepada lebih 100,000 komponen sebulan bagi operasinya di Shah Alam dan kilang terbaharunya di sini.

Fasiliti terbaharunya yang terletak di Subang mempunyai keluasan 180,000 kaki persegi dilengkapi perkakasan canggih bagi kegunaan pekerja kejuruteraan dan teknikal operasi harian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Senior, David Squires berkata, fasiliti baharu itu dijangka menjadi pemacu kepada pertumbuhan syarikat dalam membangunkan komponen aeroangkasa kepada pelanggan seperti Airbus dan Boeing.

Katanya, pihaknya berharap ia dapat menampung operasi pengeluaran sedia ada di Shah Alam yang hanya mengeluarkan 60,000 komponen sebulan terdiri daripada 11,000 jenis komponen struktur untuk pelbagai bahagian pesawat.

“Pembukaan fasiliti baharu ini akan meningkatkan keupayaan syarikat di Kuala Lumpur dan menyokong pertumbuhan dalam kontrak diperoleh dalam sektor aeroangkasa awam.

“Kilang pengeluaran komponen aeroangkasa baharu ini komitmen jangka panjang pelaburan syarikat untuk pelanggan, pembekal dan pekerja kami di Asia.

“Dengan persekitaran melakukan perniagaan dengan mudah, Malaysia menawarkan industri mesra perniagaan dan kos kompetitif,” katanya pada majlis pembukaan fasiliti aeroangkasa Senior di sini, semalam.

Fasiliti aeroangkasa itu dibangunkan Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Bhd dan kemudian disewakan kepada Senior.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Axis REIT, Tunku Shahabuddin Tunku Besar Burhanuddin, Ketua pegawai Eksekutif Axis REIT, Leong Kit May dan Ketua Pegawai Eksekutif Senior Aerospace, Kavan Jeet Singh.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 7:40am
d