bisnes

Durian 43,000 tan

Oleh Hazwan Faisal Mohamad

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasar untuk mengeksport 43,000 tan durian ke China tahun ini didorong oleh langkah kerajaan republik itu meluluskan import durian sejuk beku dari Malaysia bermula 30 Mei lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, kelulusan itu berbeza dengan sebelum ini, yang mana Malaysia hanya dapat mengeksport dalam bentuk pulpa durian dan pes beku ke China.

Katanya, perkara itu dicapai ketika lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke China tahun lalu, sehingga berjaya memeterai protokol baharu dengan kerajaan negara berkenaan dan mula dilaksanakan pada akhir bulan lalu.

“Sebelum ini, Malaysia hanya mengeksport 23,000 tan durian ke China setahun dan selepas kelulusan import terbaharu ini, kita menyasar untuk mengeksport 43,000 atau 10 peratus daripada jumlah keseluruhan import buah itu di China tahun ini.

“Jumlah ini mungkin kecil dibandingkan dengan Thailand, namun kita tidak mementingkan kuantiti, tetapi kualiti kerana Malaysia mengeksport durian premium ke China untuk pasaran khusus, bukan untuk pasaran ramai,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Persidangan Usahawan Malaysia-China (MCEC) 2019 dan Persidangan Usahawan Muda Malaysia-China (MCYEC) 2019 di sini, semalam.

Tze Tzin dalam satu kenyataan di Facebooknya baru-baru ini memberitahu bahawa Pentadbiran Am Kastam China sudah meluluskan pengimportan durian sejuk beku bermula 30 Mei lalu menerusi satu perjanjian yang ditandatangani pada Ogos lalu.

Mengulas lanjut, beliau menggesa semua pekebun durian di Malaysia supaya mengambil peluang ini dengan mengeksport durian ke pasaran China bagi meningkatkan lagi pendapatan mereka.

“Selain hanya mengeksport durian, mereka juga boleh cuba mempelbagaikan produk berasaskan durian seperti aiskrim, kek atau kopi,” katanya.

MCEC 2019 yang berlangsung pada 12 Oktober depan dijangka dihadiri seribu usahawan dan pegawai kerajaan dengan hampir separuh dari China dan negara ASEAN lain.

Antara topik yang akan menjadi perhatian pada persidangan itu ialah mengenai ekonomi digital, keusahawanan muda, kebudayaan, kesihatan dan eko pelancongan serta inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 7:55am
d