bisnes

TM lantik CEO baharu

Oleh Nabil Basaruddin

TELEKOM Malaysia Berhad (TM) mengumumkan pelantikan Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM berkuatkuasa 13 Jun ini.

Selain itu, Noor Kamarul turut dilantik sebagai Pengarah Eksekutif yang baharu, mewakili Pemegang Saham Khas Syarikat iaitu Kementerian Kewangan.

Pengerusinya, Rosli Man berkata, pihak Lembaga Pengarah dan barisan pengurusan berbesar hati mengalu-alukan kehadiran Noor Kamarul untuk menerajui kumpulan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya bersedia untuk berkhidmat bersama beliau serta mempunyai keyakinan dengan pengalaman, kemahiran dan pengetahuan luas yang dimilikinya.

“Kami juga yakin beliau mampu membawa TM ke tahap lebih tinggi di masa depan dan meneroka bidang pertumbuhan baharu.

“Malah, kami akan meneruskan perjalanan transformasi TM dan melaksanakan inisiatif strategik yang dirangka bagi membantu kumpulan berdepan dengan cabaran masa kini.

“Kami juga berharap, beliau dapat meletakkan kumpulan pada kedudukan yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan mampan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Noor Kamarul, 60, berpengalaman luas selama 34 tahun dalam menguruskan rangkaian dan perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia serta Indonesia.

Kepakaran beliau memfokus kepada Perkhidmatan Rangkaian Tetap, Rangkaian Mudah Alih dan Jalur Lebar Mudah Alih.

Selain itu, beliau turut pernah menerajui strategi, perancangan dan pelaksanaan pelbagai projek daripada rangkaian kawasan baharu, 3G, 4G sehinggalah penggabungan rangkaian selular.

Noor Kamarul juga adalah antara sebahagian daripada barisan pengurusan kanan Celcom Axiata Berhad (Celcom) yang memacu peningkatan prestasi Celcom dengan mencatatkan pertumbuhan selama 31 suku tahun berturut-turut dari 2003 sehingga Mac 2018.

Beliau mula menyertai Celcom (Malaysia) Berhad pada tahun 2003 sebagai Ketua Pegawai Teknologi yang bertanggungjawab terhadap Pelan Strategik Rangkaian Celcom.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, pihaknya mewakili Lembaga Pengarah dan Pengurusan TM, ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada Imri Mokhtar kerana memegang teraju syarikat sepanjang tempoh peralihan.

“Imri akan meneruskan peranan beliau sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) bagi memacu operasi perniagaan unifi, TM ONE, TM GLOBAL dan Teknologi Maklumat dan Teknologi Rangkaian (IT&NT) untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada para pelanggan,” katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 6:31pm
d