bisnes

Media Prima umum Pengerusi baharu

Oleh Nabil Basaruddin

MEDIA Prima Berhad (Media Prima), syarikat media bersepadu sepenuhnya Malaysia mengumumkan pelantikan Datuk Syed Hussian Syed Junid sebagai Pengerusi Kumpulan Media Prima berkuatkuasa 1 Julai 2019.

Syed Hussian akan menggantikan Datuk Mohd Nasir Ahmad yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi Kumpulan Bebas Bukan Eksekutif, berkuatkuasa 30 Jun ini.

Bagi memastikan peralihan yang lancar dan stabil, Syed Hussian akan memulakan lantikan sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dan bakal Pengerusi Kumpulan berkuatkuasa 13 Jun ini.

Mohd Nasir terdahulu telah memaklumkan kepada Lembaga Pengarah berkenaan hasrat untuk mengundur diri bagi menumpukan perhatian terhadap tanggungjawabnya sebagai ahli lembaga pengarah di luar kumpulan Media Prima.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Interim Media Prima pada 21 Mei 2018 dan seterusnya sebagai Pengerusi Kumpulan Media Prima pada 12 Jun 2018.

Ketika ini, Mohd Nasir juga adalah ahli lembaga pengarah CIMB Group Holdings Berhad, CIMB Bank Berhad, SIRIM Berhad dan Prokhas Sdn Bhd serta Pengerusi Kumpulan, CIMB Group Holdings Berhad dan ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Canselor UNITEN.

Media Prima dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini berkata, Lembaga Pengarah menerima hasrat Mohd Nasir untuk mengundur diri dan menzahirkan ucapan terima kasih serta penghargaan atas kepimpinan dan sumbangan beliau kepada Media Prima sejak menyertainya pada 26 Februari 2016.

Sementara itu, sebagai Pengerusi Kumpulan yang baharu, Syed Hussian mempunyai pengalaman profesional lebih 30 tahun dalam sektor insurans dan teknologi serta pengetahuan mendalam terhadap teknologi baharu dan kepakaran dalam transformasi korporat.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di syarikat-syarikat dalam Kumpulan Media Prima.

Antaranya adalah sebagai Pengarah di Primeworks Studios Sdn Bhd, Media Prima Digital Sdn Bhd, Metropolitan TV Sdn Bhd (8TV) dan Ch-9 Media Sdn Bhd (TV9).

Syed Hussian ketika ini turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan, Western Digital Sdn Bhd serta Pengarah untuk kesemua anak syarikat operasi Malaysia, Western Digital, termasuk Western Digital

Media (Penang), SanDisk Batu Kawan (Penang), Western Digital Substrate Johor dan Kuching.

Malah, beliau juga adalah ahli Lembaga Pengarah, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 6:44pm
d