bisnes

Sasar urus wasiat RM150b

Oleh Nabil Basaruddin

PETALING JAYA: MyAngkasa Amanah Bhd (MAAB) menyasarkan untuk menguruskan 500,000 penyimpanan wasiat dengan anggaran nilai aset yang bakal ditadbir berjumlah RM150 bilion menjelang 2025.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Saruji Abdul Aziz berkata, pihaknya menjangkakan pertumbuhan pengurusan pewarisan di negara ini akan semakin berkembang pesat.

Beliau berkata, syarikat pengurusan amanah, wasiat, hibah dan harta pusaka milik Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) itu setakat ini menguruskan sebanyak 80,000 penyimpanan wasiat dengan nilai harta yang ditadbir berjumlah RM24 bilion.

“Sektor pengurusan pewarisan mempunyai potensi pasaran yang luas dan ia kini mula mendapat perhatian khususnya dengan jumlah golongan profesional yang semakin meningkat.

“Kami yakin segmen perkhidmatan ini mempunyai peluang besar dan kami melihatnya sebagai tanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran itu menerusi pelbagai inisiatif dan strategi,” katanya dalam satu temu bual di sini, baru-baru ini.

Ahmad Saruji berkata, untuk mencapai sasaran 500,000 penyimpanan wasiat dalam tempoh lima tahun, MAAB akan memperkukuhkan kerjasama dengan rakan niaga korporat terdiri daripada institusi perbankan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan koperasi.

Menurutnya, setakat ini pihaknya bekerjasama dengan lebih 25 rakan niaga korporat seperti Bank Muamalat, Agrobank, Bank Persatuan, Bank Simpanan Nasional, Affin Bank serta GLC seperti Felcra, Tekun Nasional, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd, Pos Malaysia dan koperasi di bawah Angkasa.

“MAAB memiliki sebanyak 1,600 saluran pemasaran di seluruh negara sebagai platform untuk memasarkan produk MAAB di seluruh negara.

“Kami juga akan berusaha sepenuhnya untuk menambah sehingga 2,500 saluran pemasaran menjelang 2025 dalam memastikan penawaran perkhidmatan yang lebih meluas,” katanya.

Tambahnya, usaha untuk menambahkan saluran pemasaran itu adalah sebagai strategi dalam memberikan impak positif kepada syarikat untuk memberi kemudahan kepada pelanggan mendapatkan produk daripada MAAB selain mencatatkan keuntungan lebih baik.

Selain itu, katanya, pihaknya menggunakan platform digital seperti laman web dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih meluas kepada pelanggannya.

“Pelanggan kami tidak lagi perlu berkunjung ke pejabat MAAB, sebaliknya hanya berdaftar di laman web dan mengubah kandungan wasiat secara atas talian,” katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2019 @ 8:00am
d