bisnes

Industri dron negara kembang 30 peratus

Oleh BERNAMA

CYBERJAYA: Aerodyne Group mengunjurkan industri dron Malaysia berkembang sekurang-kurangnya 30 peratus tahun ini daripada AS$500 juta pada 2018 berdasarkan penerimaan positif dan peningkatan minat pasaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul A Muhamed berkata, prospek pertumbuhan pasaran dron di Malaysia amat memberangsangkan berikutan orang ramai perlukan lebih banyak masa untuk benar-benar memahami manfaat teknologi dron dan bagaimana ia memberi impak terhadap kehidupan harian dan rutin perniagaan mereka.

“Pada 2018, kami menganggarkan kira-kira AS$500 juta dalam nilai perniagaan, dan 10 tahun dari sekarang kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) akan lebih 50 peratus. Jadi dalam beberapa tahun lagi ia akan menjadi beberapa bilion dolar bagi nilai berpotensi boleh diwujudkan di Malaysia,” katanya di luar Persidangan MyDrone X di sini, semalam.

Memberikan contoh, beliau berkata, dron digunakan dalam pertanian berkembang 2,000 peratus berbanding tiga tahun lalu.

“Ia adalah pertumbuhan menakjubkan. Pada masa lalu kami masih di peringkat menguji teknologi ini dan kini saya menyaksikan beberapa pihak dalam industri ini mengambil langkah untuk pergi lebih jauh daripada sekadar mengujinya dan menyediakan penyelesaian sebenar yang juga adalah inovasi terhadap perniagaan mereka,” katanya.

Berhubung kebimbangan terhadap aspek keselamatan dan privasi, Kamarul berkata, orang ramai sebelum ini sering berasa takut dengan perkara yang mereka tidak faham.

“Tetapi dalam operasi komersial ia sebenarnya amat selamat dan juga teknologi inovasi,” katanya.

Aerodyne, syarikat tempatan yang mempunyai 25 pejabat di peringkat global adalah satu daripada lima pakar dron terkemuka dunia. Dron dipacu kecerdasan buatan keluaran syarikat itu turut dilengkapi penyelesaian Internet kebendaan (IoT).

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 8:33am
d