bisnes

Megat Zaharuddin letak jawatan Pengerusi FELDA

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengumumkan Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor meletakkan jawatan sebagai Pengerusi berkuat kuasa semalam.

Felda dalam satu kenyataan memaklumkan, beliau berkhidmat dengan agensi itu hampir setahun selepas dilantik sebagai pengerusi pada 26 Julai 2018.

"Dalam tempoh itu beliau berusaha keras memahami rapat isu-isu FELDA terutamanya tentang warga peneroka.

"Dengan lawatan ke beberapa tanah rancangan FELDA di seluruh negara beliau dikatakan seorang pemimpin yang sentiasa mementingkan kebajikan sosioekonomi peneroka.

"Di bawah pentadbirannya, beberapa inisiatif pelan transformasi diperkenalkan dan diketengahkan bagi meneraju FELDA semula ke tahap kelestarian dan kegemilangan," katanya.

Dalam kenyataan sama memaklumkan, sebahagian daripada inisiatif itu sudah diselesaikan dan beberapa lagi masih dalam proses pelaksanaan.

"Megat Zaharuddi juga sudah menyusun atur dan memperkenalkan misi, visi dan nilai teras baharu FELDA agar organisasi itu mampu menjadi pemacu pembangunan penempatan negara yang progresif," katanya.

Pada 10 April lalu, kerajaan membentangkan Kertas Putih Ke Arah Kelestarian FELDA dan turut memperkenalkan Model Baharu FELDA.

Dengan pelan transformasi yang dikemas kini FELDA akan distruktur semula untuk menjayakan segala usaha ke arah FELDA Baharu.

Kenyataan itu turut menyebut, pengerusi baharu akan diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berikutan FELDA bernaung di bawah kementerian itu.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 10:54am
d