bisnes

Kembang Ar-Rahnu

Oleh Mohd Zaky Zainuddin

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat menyasarkan pertumbuhan pengeluaran pinjaman Ar-Rahnu melebihi 20 peratus melalui Kempen Emas 2 Kilo yang berakhir pada 27 Oktober depan.

Ketua Pembiayaan Runcitnya, Fatayal Anshori Abdussyukur berkata, menerusi kempen berkonsepkan Pajak dan Menang yang bermula esok, Bank Rakyat turut menjangkakan pertambahan pelanggan hingga lima peratus daripada 710,000 pelanggannya ketika ini.

“Kempen ini untuk menggalakkan lebih ramai pelanggan menggunakan khidmat Pajak Gadai-i Ar-Rahnu dan Ar-Rahnu X’Change bagi meraih pinjaman hingga RM350,000.

“Melalui Kempen Emas 2 Kilo, 26 hadiah dengan nilai keseluruhan hampir RM400,000 atau dua kilogram emas ditawarkan bersempena dengan 26 tahun pinjaman itu diperkenalkan Bank Rakyat,” katanya selepas pelancaran kempen itu di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Pengerusi Perniagaan Ar-Rahnu Bank Rakyat, Dr Mokhrazinin Mokhtar.

Pemenang hadiah utama Kempen Emas 2 Kilo memenangi emas seberat satu kilogram diumumkan selepas kempen berakhir. Hadiah lain ditawarkan termasuk enam emas 500 gram (g), 150g dan 22 pemenang emas seberat 10g.

Pelanggan boleh menyertai kempen berkenaan di 185 cawangan Bank Rakyat dan 74 francais Ar-Rahnu X’Change.

Fatayal Anshori berkata, Ar-Rahnu antara plaform Bank Rakyat dalam menyokong kelestarian usaha membangunkan usahawan.

“Menerusi Ar-Rahnu, kita boleh melahirkan lebih ramai usahawan menerusi penjanaan modal dengan cepat.

“Sehubungan itu, kempen ini bertujuan mendidik masyarakat bahawa emas menjadi satu aset yang boleh dilaburkan untuk meningkatkan taraf ekonomi individu dan berupaya menjana ekonomi negara,” katanya.

Sebelum ini, Bank Rakyat memperkenalkan Kempen Emas 1 Kilo yang berlangsung pada 1 Ogos 2017 hingga 31 Julai tahun lalu.

Melaluinya, perniagaan Ar-Rahnu Bank Rakyat merekodkan peningkatan pengeluaran pinjaman 20.24 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Disiarkan pada: June 27, 2019 @ 7:45am
d