bisnes

SIA, MAB pertingkat perkongsian kod

Oleh hmdigital

KUALA LUMPUR: Singapore Airlines (SIA) dan Malaysia Airlines Bhd (MAB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan kejasama dengan memanfaatkan perjanjian perkongsian kod sedia ada yang meliputi penerbangan di antara Singapura dan Malaysia.

Dalam kenyataan baru-baru ini, MAB berkata pengukuhan itu mungkin meliputi peluasan perkongsian kod penerbangan melepasi laluan Singapura-Malaysia serta penambahbaikan program kekerapan penerbangan.

“Potensi kerjasama lain mungkin meliputi perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih dengan semua ini adalah tertakluk kepada pelbagai kelulusan kawal aturan.

“Perjanjian rasmi yang dijangka dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang turut meliputi anak syarikat SIA, SilkAir dan Scoot serta Firefly, syarikat penerbangan sekutu MAB,” menurut kenyataan terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail berkata Malaysia Airlines mempunyai sejarah hubungan komersial dan budaya yang kukuh dengan Singapore Airlines.

“Perjanjian itu juga buat pertama kalinya membabitkan semua lima syarikat penerbangan termasuk anak syarikat Firefly, SilkAir dan Scoot.

“Melalui perkongsian ini, kami berharap dapat menambah nilai kepada pelanggan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif SIA, Goh Choon Phong pula berkata SIA dan MAB beroperasi di rantau yang pesat berkembang dalam pasaran perjalanan udara sekali gus menawarkan peluang luas untuk kedua-dua syarikat penerbangan itu.

“Kedua-dua syarikat penerbangan mempunyai operasi luas di ASEAN selain rangkain luas yang meliputi banyak tempat di dunia,” katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2019 @ 7:22am
d