bisnes

Sunway, PKNS tubuh anak syarikat

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Sunway Bhd memeterai perjanjian penswastaan bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui anak syarikat 60:40 dengan PKNS yang dikenali sebagai Sunway PKNS Sdn Bhd untuk memajukan pembangunan bercampur di atas tanah pegangan pajak 9.5 ekar di Kota Damansara.

Pengarah Urusan Bahagian Hartanah Sunway, Sarena Cheah memeterai perjanjian itu bagi pihak Sunway PKNS Sdn Bhd bersama Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.

Sunway dalam kenyataannya berkata, cadangan pembangunan itu akan merangkumi apartmen servis dan unit runcit gaya hidup dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM544 juta dan dijangka siap pada 2025.

Menurut syarikat itu, cadangan pembangunan yang terletak di Kota Damansara itu bakal dikelilingi pelbagai kemudahan peruncitan seperti Sunway Giza, Sunway Nexis dan IKEA Damansara serta institusi pendidikan seperti Sri KDU dan SEGi University, selain beberapa institusi penjagaan kesihatan.

Selain itu, katanya, Sunway juga menyasarkan untuk membuka sebuah pusat penjagaan kesihatan di kawasan pembangunan itu pada 2022.

Katanya, Sunway PKNS akan membayar nilai hak RM36.6 juta, bahagian hasil RM50 juta atau jumlah bersamaan dengan 8.88 peratus nilai jualan kasar pembangunan tanah berkenaan.

“Ia ditolak dengan diskaun Bumiputera yang diluluskan pihak berkuasa berkaitan, diskaun jualan lain dan kos insentif pembelian yang ditawarkan oleh Sunway PKNS kepada pembali hartanah yang akan dibangunkan di atas tanah berkenaan, yang mana lebih tinggi.

“Selain itu, ia ditolak se bahagian keuntungan sebelum cukai daripada cadangan pembangunan berjumlah RM38 juta, memandangkan PKNS adalah pemegang saham yang memegang 40 peratus dalam Sunway PKNS,” katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 7:44am
d