bisnes

4,000 projek RM45bilion

Oleh Nurhayati Abllah

PUTRAJAYA: Malaysia dijangka membelanjakan RM45 bilion untuk lebih 4,000 projek pembangunan tahun ini dan seterusnya bagi memastikan pertumbuhan kekal kukuh serta mampan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata, selari dengan usaha pemulihan projek berskala besar, langkah itu akan menjadi pemacu pertumbuhan negara pada masa depan.

“Malaysia kini menuju era pembangunan dan pertumbuhan baharu. Langkah ini akan menjadi pemacu pertumbuhan kita untuk tahun ini dan seterusnya.

“Saya yakin negara terus melangkah ke masa depan lebih baik, progresif dan dengan kestabilan serta harmoni,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pelancaran Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) (2021-2025) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian menerusi rakaman video kerana perlu menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC di Vienna, Austria.

Azmin berkata, Malaysia pada masa ini turut bergantung kepada permintaan domestik, terutama permintaan swasta.

“Penggunaan swasta dijangka masih kekal sebagai pertumbuhan masa depan Malaysia dengan keadaan pasaran buruh yang stabil.

“Meskipun sektor luaran mewakili 130 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sumbangan bersihnya masih kurang signifikan kepada ekonomi,” katanya.

Selain itu, Azmin berkata, dasar dan strategi RMK-12 yang bakal digubal dijajarkan berasaskan tiga dimensi iaitu pemerkasaan ekonomi, kemampanan alam sekitar dan kerekayasaan sosial.

“Dimensi itu saling melengkapi antara satu sama lain ke arah merealisasikan model pembangunan baharu demi kemakmuran bersama.

“Ia selari dengan usaha kita untuk mencapai Matlamat Pembangunan Yang Mampan menjelang 2030,” katanya.

RMK-12 adalah kesinambungan daripada pelan pembangunan terdahulu yang akan digubal berdasarkan konsep ‘Kemakmuran Bersama’ yang mana akan menjadi hala tuju untuk pembangunan jangka panjang.

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 8:03am
d