bisnes

Jaminan tambahan untuk pengguna Huawei

Oleh Nabil Basaruddin

PENGENALAN kempen No Worries Campaign daripada Huawei Malaysia semalam turut menyaksikan beberapa jenama perniagaan utama tempatan turut mengambil langkah sama dengan melancarkan program perlindungan masing-masing.

Pelancaran program sedemikian dilihat sebagai usaha daripada rakan perniagaan Huawei dalam menyokong inisiatif oleh syarikat teknologi global terbabit.

Antaranya, termasuklah peruncit dan pengedar elektronik utama seperti Senheng, Courts Malaysia, Lazada dan banyak lagi yang mengumumkan program jaminan untuk pengguna Huawei menerusi platform sosial media dan laman web rasmi masing-masing.

Program Waranti Perlindungan Untuk Aplikasi mula diperkenalkan pada 1 Julai dan akan berakhir pada 30 September ini, membolehkan pelanggan untuk memohon bayaran penuh sekiranya mereka berdepan dengan masalah seperti Google App tidak berfungsi pada peranti Huawei masing-masing.

Pada masa sama, Huawei turut mengumumkan program ganjarannya yang tersendiri bagi pasaran tempatan membabitkan program waranti dua tahun dan harga untuk model terbaharunya, Huawei P30 dan nova 3i.

Sepanjang tempoh kempen ini yang juga bermula pada 1 Julai hingga 30 September, pelanggan berpeluang untuk menikmati waranti tambahan selama setahun bagi peranti Huawei terpilih melalui aplikasi HiCare.

Program bayaran balik yang dilaksanakan oleh beberapa jenama besar itu adalah inisiatif perniagaan itu sendiri yang mempunyai tujuan sama iaitu untuk meningkatkan pengalaman dan keyakinan pengguna untuk produk Huawei.

Tumpuan sepenuhnya terhadap pelanggan sentiasa menjadi teras penting kepada syarikat teknologi itu dan ia bukan langkah yang mengejutkan apabila rakan perniagaan atau jenamanya turut melakukan perkara sama.

Usaha itu membawa tujuan sama iaitu untuk membawakan lebih banyak ganjaran dan manfaat untuk penggunanya.

Sementara itu, bermula 1 Julai, pengguna Malaysia dapat memiliki siri P30 Pro (varian 8GB + 256GB), Huawei P30 dan Huawei nova 3i pada tawaran yang menarik masing-masing dijual pada harga RM3,399, RM 2,299 dan RM799.

Malah, pengguna juga dapat menikmati penjimatan sehingga RM400 bagi model flagship terbabit di samping jaminan dua tahun yang dilanjutkan yang boleh ditebus melalui aplikasi HiCare.

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 6:38pm
d