bisnes

MED bincang undang-undang dron

Oleh Nabil Basaruddin

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan (MED) kini sedang berunding bersama pihak berkuasa dan pengawal selia penerbangan bagi meminda undang-undang untuk perniagaan berasaskan inovasi seperti dron serta kereta terbang.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, perkara itu perlu dilaksanakan supaya ia dapat merancakkan pertumbuhan sektor keusahawanan berasaskan inovasi.

Beliau berkata, ketika ini kebanyakan usahawan tempatan berasaskan inovasi beroperasi dan membangunkan teknologi baharu di luar negara kerana mempunyai sistem perundangan yang mesra kepada pembangunan inovasi.

Menurutnya, Malaysia perlu bertindak pantas dalam menyediakan undang-undang supaya setaraf dengan negara luar yang giat menawarkan peluang menjana pertumbuhan negara menerusi inovasi.

“Sebagai contoh, ketika ini Malaysia sudahpun mempunyai usahawan yang membangunkan dron untuk menghantar makanan dan industri asas tani juga menggunakan dron untuk sembur baja di samping inovasi untuk kereta terbang.

“Bagaimanapun, ia tidak boleh dilaksanakan kerana undang-undang tidak membenarkannya, jadi mereka tidak boleh ‘terbang’.

“Jadi, bagaimana kita boleh merangsang industri untuk menggunakan inovasi seperti membina kereta terbang dan dron sekiranya tiada disediakan ruang udara untuk mereka,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Program Perkongsian Pelaburan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SIP) di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Wan Suraya berpendapat untuk melaksanakan perkara terbabit, kerajaan perlu bersedia menggubal beberapa proses bagi memudahkannya serta mengkaji semula undang-undang sedia ada supaya lebih mesra kepada industri berasaskan inovasi.

Menurutnya, ia perlu digubal kerana ia dapat merangsang pembangunan di Malaysia supaya dapat bergerak lebih pantas berdasarkan kemahuan dan kehendak semasa.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 6:46pm
d