bisnes

MRCB Land optimis capai RM800 juta

Oleh Sofyan Rizal Ishak

MRCB Land Sdn Bhd (MRCB Land), syarikat pemaju hartanah milik penuh Kumpulan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) menyasarkan jualan sebanyak RM800 juta bagi tahun kewangannya yang berakhir 31 Disember tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raymond Cheah berkata, syarikat optimis mampu mencapai angka jualan itu melalui pelancaran beberapa projek baharu yang kini masih dalam perancangan dan pembinaan termasuk projek di PJ Sentral yang bakal dilancarkan pada suku keempat tahun ini.

“Selain itu, kami menjangkakan pelaksanaan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) oleh kerajaan bakal membantu pertumbuhan jualan kami berdasarkan sambutan menggalakkan yang diterima setakat ini,” katanya pada media selepas pengumuman penyewa utama bagi Vivo Signature Retail di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, syarikat yakin pertumbuhan jualan juga akan dibantu melalui jangkaan perkembangan positif bagi industri hartanah tempatan pada 2019 terutama pada separuh kedua tahun ini.

Katanya, pasaran hartanah akan kembali pulih dalam tempoh terbabit meskipun berdepan sentimen pasaran yang perlahan pada separuh pertama tahun ini.

“Kami lihat industri ini lebih baik jika dibandingkan dengan tahun lalu di mana institusi perbankan juga lebih terbuka dalam memberikan pembiayaan kepada pembeli rumah.

“Situasi ini banyak disumbang melalui pelaksanaan kempen HOC yang mendapat sambutan baik dan kami berharap separuh kedua tahun ini akan menjadi lebih baik untuk kami dan industri secara keseluruhan,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 7:20pm
d