bisnes

5 tahun sejuta kerja

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan 250,000 usahawan sebagai langkah dalam merealisasikan sejuta peluang pekerjaan di Malaysia, dalam tempoh lima tahun.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, usahawan terbabit akan memainkan peranan sebagai pencipta pekerjaan seterusnya menjadi peserta industri yang menyumbang kepada ekonomi negara.

Katanya, kerajaan sentiasa berusaha untuk merealisasikan manifesto mewujudkan sejuta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

“Perkara ini akhirnya akan membolehkan usahawan memainkan peranan mereka sebagai pencipta pekerjaan dalam negara.

“Kita menjangkakan bahawa setiap usahawan ini mampu menjana empat peluang pekerjaan seterusnya meningkatkan jumlah pekerjaan dan mewujudkan kemakmuran yang sama rata,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) di sini, semalam.

DKN 2030 yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu menggariskan enam teras strategik yang ditetapkan berpandu kepada perkembangan ekonomi global, pencapaian terkini keusahawanan serta isu dan cabaran semasa.

Mohd Redzuan berkata, teras pertama adalah membudayakan keusahawanan dalam segenap masyarakat dan kedua adalah untuk mengoptimumkan sistem kawal selia serta capaian kepada pembiayaan kewangan.

Seterusnya, katanya, ia juga memainkan peranan penting dalam merangsang pembangunan keusahawanan yang bersepadu dan membantu memacu pertumbuhan ekonomi melalui inovasi.

“Teras yang kelima adalah kami mahu memantapkan keupayaan serta prestasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana dan teras terakhir adalah mengantarabangsakan perusahaan berpertumbuhan tinggi.

“Bermula dengan pembangunan Rangka Kerja Keusahawanan Nasional (NEF) pada November 2018 sebagai asas dalam penggubalan DKN 2030, pelbagai sesi diadakan dengan semua pihak berkepentingan bidang keusahawanan.

“Ia termasuklah agensi kerajaan, ahli akademik, pakar industri, badan bukan Kerajaan (NGO), syarikat swasta, syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), usahawan serta orang awam bagi mendapatkan input serta pandangan yang menyeluruh,” katanya.

Disiarkan pada: July 12, 2019 @ 8:31am
d