bisnes

Idaman berisiko

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

CADANGAN membolehkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenarai dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) membeli rumah pertama dilihat mengundang risiko bagi jangka panjang.

Ia antara lain memberi kesan kepada peminjam itu dan institusi kewangan yang mengeluarkan pembiayaan.

Pengerusi Gabungan Peguam Hartanah Rakyat (Gemphar), Salkukhairi Abd Sukor berkata, cadangan berkenaan dilihat baik dalam usaha membolehkan lebih ramai individu memiliki kediaman sendiri namun, ia mungkin mengundang risiko lain dalam jangka panjang.

“Kita perlu jelas tujuan senarai CCRIS itu diadakan untuk memaklumkan kepada umum mengenai rekod kredit atau pinjaman seseorang itu sama ada ia diurus dengan baik atau bermasalah.

“Jika nama seseorang itu sudah dimasukkan dalam senarai CCRIS, itu menunjukkan mereka mempunyai rekod kredit yang tidak baik. Ini termasuklah dalam urusan pembayaran balik pinjaman PTPTN mereka,” katanya.

Menurutnya, dalam urusan pembelian rumah, seseorang perlu mampu menguruskan kewangan dan pinjaman mereka dengan baik serta konsisten dalam jangka masa panjang.

“Ini kerana pengurusan kewangan kurang baik boleh menyebabkan rumah yang dibeli itu tidak dilelong pihak bank akibat ketidakmampuan mereka menjelaskan bayaran bulanan,” katanya kepada Bisnes Metro, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang memaklumkan mengenai pengecualian mereka yang disenarai dalam CCRIS untuk pembelian rumah pertama.

CCRIS adalah sistem yang mengumpul semua maklumat kredit peminjam dan menjadi satu sumber maklumat digunakan institusi kewangan untuk membantu memeriksa sejarah kredit peminjam sedia ada atau bakal peminjam mereka.

Ia yang diuruskan oleh Biro Kredit Bank Negara Malaysia (BNM) bukan sistem yang menyenarai hitam peminjam seperti tanggapan sesetengah pihak. Antara maklumat yang akan terpapar dalam laporan kredit CCRIS ialah pinjaman tertunggak, saman dan status muflis.

Katanya, mereka yang mempunyai masalah dalam menguruskan hutang sewajarnya diberi bimbingan untuk mengatur dan menguruskan kewangan dengan lebih baik termasuklah bimbingan dari sudut mentaliti dan sikap.

“Memberi mereka peluang menambah hutang bagi jangka masa panjang seperti hutang untuk pembelian rumah ini bukanlah langkah yang bijak.

“Selepas mereka berjaya menguruskan dan menyelesaikan hutang sedia ada dengan baik barulah boleh dipertimbangkan untuk mereka membeli rumah melalui pembiayaan untuk tempoh yang panjang,” katanya.

Namun, menurutnya sekiranya mereka yang berada dalam senarai CCRIS ini masih mahu memiliki kediaman sendiri, mereka boleh berbuat demikian dengan meminta pasangan atau ahli keluarga yang berkelayakan membeli rumah berkenaan bagi pihak mereka.

“Rumah itu kemudiannya disewakan kepada mereka dengan jumlah bayaran sama seperti ansuran bulanan bank.

“Dalam masa sama, mereka perlu berusaha menyelesaikan segala tunggakan hutang yang menyebabkan nama berada dalam senarai CCRIS.

“Selepas semuanya selesai, mereka boleh membuat pembiayaan untuk membeli semula rumah berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2019 @ 11:01am
d