bisnes

Sasar RM800 juta

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd menerusi cabang perniagaan kargo dan logistiknya, Teleport menyasarkan untuk meningkatkan pertumbuhan pendapatan sehingga dua kali ganda kepada RM800 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, sasaran itu untuk tempoh 12 bulan dan optimis ia membantu menyumbang kepada perkembangan pendapatan kumpulan secara keseluruhan.

Beliau berkata, ketika ini, Teleport hanya menyumbang sekitar empat peratus kepada pendapatan kumpulan dan ia diunjurkan melonjak antara lapan hingga 10 peratus dalam tempoh ditetapkan.

“Pada tahun lalu, perniagaan kargo dan logistik memberikan sumbangan sekitar RM400 juta daripada pendapatan keseluruhan Kumpulan AirAsia yang berjumlah RM10 bilion.

“Kami yakin sasaran itu mampu dicapai syarikat penerbangan ini berdasarkan kepada jalinan usaha sama strategik selain penumpuan terhadap perniagaan baharu dalam segmen digital,” katanya selepas majlis pengumuman pelaburan Teleport dan Gobi Partner dalam perkhidmatan penghantaran EasyParcel di sini, semalam.

Teleport dan Gobi Partner melabur sebanyak AS$10.6 juta dalam perkhidmatan penghantaran EasyParcel.

Majlis itu turut dihadiri Pengarah Urusan Malaysia (Pelaburan) Gobi Partner, Jamaludin Bujang, Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak dan Ketua Pegawai Eksekutif EasyParcel, Clarence Leong.

Mengulas lanjut mengenai prospek Teleport, Tony berkata, setakat ini, bagi kapasiti penggunaan ruang kargo untuk pesawat AirAsia, Teleport menggunakan sekitar 15 peratus sahaja.

Menurutnya, kapasiti kargo untuk perniagaan penumpang pula sekitar 40 hingga 60 peratus.

“Jadi, masih banyak lagi kapasiti bagi ruang kargo dan ia memberi keyakinan bahawa perniagaan kargo ini dapat berkembang sebanyak lima peratus dan meningkat kepada 20 peratus dalam tempoh terdekat,” katanya.

Tambahnya, segmen perniagaan kargo AirAsia mempunyai peluang besar dalam menjadi sebahagian daripada ekosistem sosial dan e-dagang.

Katanya, kerjasama pelaburan baharu itu turut menjadikan perniagaan kargo lebih mudah diakses serta inklusif.

“AirAsia membina Teleport untuk membolehkan kami membantu perniagaan dan pengguna secara terus selain membuka infrastruktur logistik kepada peniaga sosial.

“Malaysia juga mempunyai kedudukan geografi yang strategik menjadikan ia lokasi bertepatan dalam membangunkan platform perniagaan logistik serta kargo,” katanya.

Disiarkan pada: July 17, 2019 @ 6:28am
d