bisnes

Jualan kenderaan meningkat

Oleh Nabil Basaruddin

JUMLAH jualan kenderaan di negara ini mencatatkan peningkatan 2.3 peratus kepada 296,334 unit bagi tempoh enam bulan pertama 2019 berbanding 289,599 unit yang direkodkan tahun lalu.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, peningkatan jumlah jualan industri (TIV) itu disumbangkan oleh segmen kenderaan penumpang yang meningkat sekitar 3.8 peratus dan segmen kenderaan komersial pula menurun 11.2 peratus.

Katanya, jualan kenderaan pada tempoh berkenaan juga menunjukkan trend yang meningkat secara kosisten berbanding tempoh sama pada 2018, kecuali Februari dan Jun 2019.

“Pencapaian TIV ini bersamaan dengan 49.4 peratus daripada unjuran asal MAA, iaitu sebanyak 600,000 unit untuk TIV seperti yang diumumkan pada 16 Januari lalu.

“Dengan mengambil faktor seperti persekitaran dan ekonomi semasa, pihak MAA mengambil keputusan untuk mengekalkan sasaran awal untuk TIV pada tahun ini,” katanya pada taklimat pasaran automotif untuk separuh pertama 2019 di sini, hari ini.

Berdasarkan asas bulanan, bulan Mei mencatatkan jumlah jualan yang tertinggi dalam tempoh yang dikaji, iaitu sebanyak 60,780 unit.

Pencapaian itu adalah pertama kali direkodkan dalam sektor automotif negara di mana ia melebihi paras 60,000 unit disebabkan permintaan kenderaan yang kukuh daripada tawaran serta promosi Hari Raya.

Aishah berkata, dari segi asas sukuan, TIV adalah lebih tinggi pada suku kedua 2019 iaitu 153,270 unit berbanding 143,064 unit pada suku pertama tahun ini

“Bagaimanapun, pencapaian pada suku kedua tahun ini adalah lebih rendah dari tempoh sama pada tahun lalu iaitu 154,489 unit disebabkan oleh pengumuman pengecualian cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula dari Jun 2018,” katanya.

Mengulas mengenai segmen kenderaan penumpang, Aishah berkata, jumlah jualan segmen terbabit pada tempoh itu adalah sebanyak 270,875 unit, mewakili 91.4 peratus daripada keseluruhan TIV pada Januari-Jun 2019.

“Dalam kategori ini, segmen kenderaan utiliti sukan (SUV)/4x4 dan van merekodkan pertumbuhan jualan positif masing-masing sebanyak 66,447 unit dan 1,678 unit.

“Namun, terdapat penurunan dalam segmen kereta penumpang dan kenderaan pelbagai penumpang (MPV) pula merosot sekitar 9,251 unit dan 10,059 unit,” katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2019 @ 3:17pm
d