bisnes

Perodua tidak akan berhenti keluar kenderaan Alza

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan terus memberi tumpuan kepada segmen kenderaan pelbagai guna (MPV) meskipun ketika ini ada permintaan tinggi terhadap kenderaan utiliti sukan (SUV).

Pengarah Urusan Perodua Sales, Datuk Zahari Husin berkata, syarikat pengeluar kereta nasional itu tidak akan menghentikan pengeluaran Alza, MPV dengan tujuh tempat duduk yang terus mendapat sambutan dalam pasaran.

Beliau berkata, pihaknya akan memperkemaskan jualan untuk kenderaan dari dua segmen itu, iaitu Alza serta Aruz, kenderaan SUV baharu yang dilancarkan oleh Perodua pada tahun ini.

“Meskipun wujud persaingan jualan antara Alza dan Aruz, masih ada pembeli dalam pasaran yang memilih Alza manakala mereka yang mencari SUV pula memilih Aruz.

“Jadi, kami masih menjadikan segmen MPV sebagai antara tumpuan berikutan Alza kekal mempunyai permintaan yang tinggi dengan masa menunggu hanya sekitar satu atau dua bulan,” katanya pada sidang media taklimat prestasi separuh pertama Perodua di sini, baru-baru ini.

Majlis itu turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Perodua Alza dijual dalam varian yang pelbagai dalam pasaran dan ditawarkan pada harga bermula RM51,000 sehingga RM63,000 manakala, Perodua Aruz pula adalah sekitar RM73,000 hingga RM78,000.

Sementara itu, mengulas mengenai pelan masa depan kenderaan elektrik (EV) Perodua, Zainal berkata, dalam tempoh terdekat ini pihaknya menolak kemungkinan bagi sebarang bentuk perancangan mahupun tindakan mengenai EV.

“Segmen EV ini tidak dapat dilaksanakan lagi memandangkan negara ini masih menjana tenaga elektrik daripada gas dan arang batu.

“Kebergantungan itu melebihi sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga hidro berbanding negara-negara maju lain yang lebih sesuai untuk pengangkutan elektrik,” katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2019 @ 7:06am
d