bisnes

Akta Kredit Pengguna lebih adil

Oleh Nabil Basaruddin

KERAJAAN kini sedang menggubal Akta Kredit Pengguna yang bertujuan untuk memastikan pengguna kredit menerima layanan adil ketika berurusan dengan pemberi kredit.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, akta berkenaan adalah penting, malah penggubalannya akan disegerakan sebagai usaha untuk melindungi kepentingan pengguna dan menggalakkan pasaran kredit yang sihat.

Beliau berkata, usaha untuk meningkatkan literasi kewangan juga adalah penting serta menjadi pelengkap kepada inisiatif penggubalan Akta Kredit Pengguna dalam mengukuhkan rangka kerja perlindungan pengguna kredit di Malaysia.

“Keupayaan untuk membuat keputusan kewangan dengan bijak bukan hanya relevan ketika membuat pinjaman atau pembelian produk kewangan saja.

“Malah, ia turut diperlukan ketika membeli perlindungan insurans, membuat pelaburan dan menguruskan pendapatan bagi memastikan hidup tidak dibelenggu tekanan kewangan.

“Dalam persekitaran kewangan yang semakin kompleks dan mencabar ini, keupayaan kita untuk melindungi diri daripada amalan pasaran yang tidak adil atau sebarang bentuk penipuan kewangan memerlukan kita untuk lebih mengenal bentuk dan modus operandi jenayah kewangan,” katanya pada majlis pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di Kuala Lumpur, hari ini.

Untuk mencapai matlamat itu, beberapa keutamaan dikenalpasti di bawah strategi ini seperti meningkatkan akses kepada maklumat, instrumen dan sumber pengurusan kewangan.

Malah, ia turut menekankan aspek perancangan kewangan dan persaraan jangka panjang selain melindungi harta.

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 3:02pm
d