bisnes

Sasar pendapatan sampingan naik 10%

Oleh Sofyan Rizal Ishak

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd (MAB) menyasarkan peningkatan 10 peratus pendapatan sampingannya tahun ini dipacu melalui jenama pasaran perjalanan bersepadu terkininya iaitu MHholidays.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, platform dalam talian yang dibangunkan dengan kerjasama Kumpulan TUI, syarikat pelancongan dan pengembaraan terbesar di Eropah itu diyakini mampu meningkatkan sasaran pendapatan sampingan syarikat penerbangan nasional itu daripada lima peratus pada tahun lalu.

Menurutnya, MHholidays dilihat menerima sambutan baik dalam kalangan pelanggan apabila berjaya mencatatkan kira-kira 2,000 tempahan sejak prapelancarannya Jun lalu.

“Sebagai permulaan, kami berhasrat untuk mencatatkan 5,000 tempahan sebulan dalam tahun ini dan kami juga beraspirasi untuk meningkatkan jumlah itu kepada 1,000 tempahan sehari pada masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas pelancaran MHholidays di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

MHholidays adalah pasaran perjalanan terkini yang membolehkan pelancong merancang pakej percutian mereka dengan menggabungkan penerbangan dan hotel.

Ia memberi kemudahan bagi semua pelancong meneliti pilihan perjalanan bersesuaian serta menikmati tawaran berpatutan dan eksklusif daripada MAB selain penjimatan 80 peratus untuk hotel melalui lebih 5,000 hotel dan 50 destinasi seluruh dunia.

Beliau berkata, pasaran itu akan memudahkan pelancong mencari, menapis dan melakukan perbandingan penerbangan dan hotel untuk mendapatkan pakej percutian yang sempurna serta memenuhi keperluan masing-masing.

Menurutnya, pelancong yang melakukan tempahan di MHholidays juga akan menikmati mata ganjaran Enrich bagi setiap penerbangan yang boleh digunakan untuk merancang percutian seterusnya.

“Untuk masa ini, kami fokus kepada perjalanan ke luar Malaysia yang membabitkan pelancong domestik terlebih dahulu sebelum diperluaskan kepada pasaran global selepas ini.

“Kami juga merancang untuk meluaskan lagi tawaran bagi MHholidays pada masa akan datang dan tidak terhad kepada penerbangan dan hotel saja malah membabitkan penganjuran jelajah serta pengangkutan,” katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 6:42am
d