bisnes

Proton X70 luar biasa

Oleh Lizam Ridzuan

KUALA LUMPUR: Selepas pelancaran model kenderaan utiliti sukan (SUV) premium pertama Proton iaitu X70 akhir 2018, ia mendapat sambutan menggalakkan kerana dilengkapi ciri termaju dengan rekaan menarik.

Terjual lebih 15,000 unit sehingga pertengahan tahun ini, SUV yang membawa elemen Intelligence that Inspires itu bukan sekadar kenderaan baharu.

Ia bagai medium serta semangat yang dibawakan dalam memberi inspirasi untuk pelbagai lapisan masyarakat melaksanakan sesuatu perkara dengan pelbagai tujuan yang positif.

Sekumpulan pemilik X70 terawal dari Sarawak, menganjurkan kembara Malaysia-China Amazing Trip 2019 meliputi perjalanan lebih 13,000 kilometer (km) bagi menguji ketahanan model ini.

Bermula di Shah Alam, mereka merentasi Thailand, Laos dan China memandu X70 dengan semangat luar biasa.

Semua sepuluh X70 tiba dengan selamat di Hangzhou, China melalui pelbagai permukaan jalan serta cuaca tanpa sebarang masalah teknikal, kemudian kembali ke Malaysia.

X70 juga dijadikan elemen dalam pertandingan melalui Intelligence that Inspires Challenge kerjasama di antara Proton dan Kementerian Pelajaran Malaysia membabitkan lebih 50 pasukan dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menjalankan kempen pemasaran untuk model ini termasuk aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Pelajar tersebut melakukan tugasan seperti dalam dunia pekerjaan sebenar dengan kemahiran komunikasi dan kreativiti memasarkan X70 serta meningkatkan kualiti kehidupan komuniti di Malaysia.

Proton X70 didatangkan dengan enjin 1.8 liter Turbo Gasoline Direct Injection (TGDI) yang menghasilkan kuasa 181 hp dan tork 285Nm pada 1,500 rpm.

Dilengkapi transmisi enam kelajuan automatik dan manual yang turut ditawarkan dengan mod Normal, Eco dan Sport bagi disesuaikan dengan gaya pemanduan individu.

Ia juga dilengkapi sistem keselamatan terbaik melalui enam beg udara SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantu Brek (BA), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantu Kekal Bukit (HHA), Kawalan Menuruni Bukit (HDC), Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan Membrek Kecemasan Autonomi.

Mendapat penarafan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV), Proton X70 dijual pada harga RM99,800 (Standard), RM109,800 (Executive 2WD), RM115,800 (Executive 4WD) dan RM123,800 (Premium) dengan jaminan lima tahun pengeluar tanpa had perbatuan.

Disiarkan pada: July 26, 2019 @ 6:52am
d