bisnes

BNM keluarkan syiling peringatan

Oleh Nabil Basaruddin

BANK Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 30 Julai 2019.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus mempersembahkan duit syiling peringatan berkenaan kepada Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 26 Julai lalu di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Bank pusat itu dalam kenyataan hari ini berkata, spesifikasi duit syiling peringatan ini terdiri daripada Duit Syiling Peringatan Emas (pruf), Duit Syiling Peringatan Perak (pruf) dan Duit Syiling Peringatan Emas Nordic.

Menurutnya, duit syiling emas pruf diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram manakala, nilai muka duit syiling itu ialah RM100 dan akan dijual pada harga RM1,800 sekeping di mana sebanyak 300 keping ditempa.

“Sementara itu, untuk duit syiling perak pruf pula diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.1 gram dengan nilai muka berjumlah RM10 dan akan dijual pada harga RM200 sekeping dan sebanyak 1,500 keping ditempa.

“Untuk duit syiling emas Nordic pula, ia mempunyai nilai muka sebanyak RM1 dan akan dijual pada harga RM12 sekeping di mana sebanyak 20,000 keping ditempa,” katanya.

Selain itu, terdapat juga duit syiling peringatan set dua dalam satu, yang mengandungi satu duit syiling perak pruf dan satu duit syiling emas Nordic pruf.

Setiap set dijual pada harga RM230 dan terdapat 1,000 set saja.

Mengulas mengenai reka bentuk duit syiling itu, bank pusat itu berkata, di bahagian hadapan duit syiling peringatan itu, potret Yang di-Pertuan Agong dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling.

Selain itu, nama rasmi baginda turut tertera di sekeliling potret berkenaan.

Tarikh pertabalan dipaparkan di bahagian bawah potret manakala elemen dekoratif berupa corak payung 14 bucu yang terbuka pula melambangkan Baginda sebagai ‘payung yang menaungi’ 14 negeri di Malaysia.

Sementara itu, di bahagian belakang syiling peringatan itu memaparkan Jata Rasmi Yang di-Pertuan Agong dan perkataan ‘PERTABALAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVI’ tertera pada bahagian atas duit syiling.

Di bahagian bawah duit syiling bersama nilai muka duit syiling yang berkenaan turut tertera nama ‘BANK NEGARA MALAYSIA’ sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan itu.

BNM berkata, bagi memberi peluang sama rata, setiap orang hanya boleh membeli satu set dua dalam satu, satu duit syiling emas, satu duit syiling perak dan maksimum tiga duit syiling emas Nordic.

“Orang ramai boleh membuat tempahan dan pembayaran secara dalam talian mulai 19 Ogos 2019.

“Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi jumlah yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya,” katanya.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 5:06pm
d