bisnes

Tingkat eksport e-dagang PKS

Oleh Hazwan Faisal Mohamad

PELUANG untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengeksport perniagaan secara e-dagang masih meluas memandangkan hanya 6,000 PKS yang berbuat demikian.

Dianggarkan ada sejuta PKS di Malaysia pada masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, hanya 200,000 PKS mengadaptasikan e-dagang dalam perniagaan.

Katanya, daripada jumlah itu pula, hanya tiga peratus atau 6,000 PKS yang mengeksport produk mereka menerusi e-dagang.

“Jumlah ini masih kecil dan kerana itu kerajaan, kementerian dan pelbagai agensi berusaha meningkatkan pengadaptasian dan penggunaan e-dagang untuk eksport.

“Ini kerana, saya percaya e-dagang ialah masa depan dan langkah ke depan untuk PKS berkembang lebih besar,” katanya pada sidang media selepas menghadiri forum E-dagang China Asean di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Wan Latiff berkata, di pihak Matrade, ia kini dalam landasan mencapai sasaran 2,900 PKS menyertai program eTRADE menjelang tahun depan.

Katanya, ia bersandarkan kejayaan Matrade menarik penyertaan lebih 2,300 PKS ke dalam program berkenaan setakat ini.

“Kami tidak berhenti setakat di situ kerana 2,900 (PKS) ini kecil dibandingkan dengan jumlah PKS sedia ada dan akan terus berusaha membantu mereka mengeksport menerusi e-dagang,” katanya.

Program eTRADE sebahagian inisiatif Matrade meningkatkan sumbangan eksport PKS daripada 17.8 peratus kepada 23 peratus menjelang 2020.

Di bawah program ini, PKS menyediakan kemudahan kewangan RM5,000 untuk membantu kos permulaan mereka mengeksport secara dalam talian, dengan jumlah yang mampu menampung kos seperti fotografi, yuran penyenaraian dan terjemahan serta pemasaran digital.

Program ini juga menawarkan pelbagai latihan untuk peserta menerusi kerjasama dengan 20 e-pasaran yang disenaraikan di bawah program itu.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 9:27am
d