bisnes

Laman Lakeside catat jualan 72%

Oleh Nabil Basaruddin

SIME Darby Property (SDP) mencatatkan 72 peratus kadar jualan melalui projek rumah berkembar dua tingkat dan bertasik yang dibangunkannya, Laman Lakeside di Bandar Bukit Raja semasa ia dilancarkan kepada orang awam pada minggu lalu.

Laman Lakeside adalah pembangunan berskala kecil yang terdiri daripada 24 unit rumah berkembar dan ia adalah produk hartanah kedua yang diperkenalkan SDP dalam Kempen Spotlight 8, selepas Kyra pada 13 Julai lalu.

Pengurus Besar SDP, Mohd Idris Abdullah berkata, pelancaran rumah pada harga bermula dari RM1.5 juta itu adalah langkah berani terutama di Bandar Bukit Raja yang dikenali sebagai lokasi untuk harga rumah mampu milik hingga sederhana.

“Bagaimanapun, berdasarkan maklum balas yang diterima menunjukan permintaan untuk rumah mewah masih ada untuk kawasan perbandaran seperti itu.

“Kami sedar ia juga adalah disebabkan oleh pengalaman hidup yang luar biasa yang ditawarkan oleh Bandar Bukit Raja serta keterhubungannya ke lokasi utama lain di sekitar Lembah Klang.

“Pelancaran projek Laman Lakeside ini turut menjadi nilai tambah kepada perbandaran terbabit, sekali gus mempelbagaikan permintaan untuk pasaran hartanah,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, Kempen Spotlight 8 menawarkan peluang untuk membeli pelbagai jenis produk hartanah SDP melalui Weekend Superdeals atau tawaran hujung minggu serta pelancaran projek baharu.

Ia meliputi projek perbandaran milik SDP di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor.

Kempen terbabit bermula sejak dari 13 Julai lalu dan akan berlangsung sehingga 29 September depan dengan pelbagai projek baharu dan pelancaran akan diadakan sepanjang tempoh itu.

Tawaran hebat produk hartanah SDP yang berikutnya adalah pada 3 hingga 4 Ogos ini bertempat di KL East yang menawarkan residensi pegangan bebas untuk projek The Ridge, The Veo dan Serini Melawati dengan rebat tambahan sehingga RM91,000.

Disiarkan pada: August 3, 2019 @ 7:23am
d