bisnes

LPPSA sasar RM12 Bilion

Oleh Hazwan Faisal Mohamad

LEMBAGA Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menyasarkan untuk menyalurkan pembiayaan sehingga RM12 bilion pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kamal Mohd Ali berkata, setakat hari ini agensi itu telah menyalurkan lebih RM6 bilion pembiayaan kepada lebih 20,000 penjawat awam.

“Setiap tahun, kami meluluskan hampir 40,000 permohonan pembiayaan daripada penjawat awam dengan membabitkan di antara RM10 bilion hingga RM12 bilion.

“Jumlah keseluruhan pembiayaan yang disalurkan sehingga kini ialah sebanyak RM70 bilion membabitkan hampir 800,000 atau separuh daripada 1.6 juta penjawat awam,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran sistem pemgurusan pembiayaan (LMS) dan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara LPPSA dengan Bank Islam Malaysia Bhd dan Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini, semalam.

Majlis MoU itu menyaksikan LPPSA diwakili Kamal, manakala Bank Islam oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed dan BSN oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yunos Abd Ghani.

Ia turut disaksikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir.

LMS adalah sistem yang telah dibangunkan bagi memudahkan urusan pelanggan LPPSA untuk membuat permohonan pembiayaan perumahan secara atas talian.

Ia juga membolehkan pelanggan untuk menyemak maklumat pembiayaan, memuat turun penyata tahunan, menyemak status baki, status bayaran pembiayaan dan perkhidmatan lain.

Untuk MoU itu pula, ia membolehkan penjawat awam memohon pembiayaan daripada LPPSA serta Bank Islam atau BSN yang bersetuju menjadi pemegang gadaian kedua bagi menyelesaikan wang beza.

Dalam perkembangan lain, Kamal berkata, pihaknya kini sedang mengadakan perbincangan dengan semua syarikat insurans yang menjadi panel LPPSA bagi mengurangkan kadar premium yang dikatakan agak tinggi.

“Maklum balas diterima setakat ini adalah positif dan kami akan memaklumkan mengenai perkembangannya tidak lama lagi,” katanya.

Pada akhir Jun lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa LPPSA menurunkan caj pengurusan bagi insurans kediaman yang dianggap tinggi dan membebankan penjawat awam.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata. caj pengurusan 45 peratus bagi premium insurans kediaman yang ditetapkan LPPSA adalah terlalu tinggi menyebabkan kadar bayaran bulanan untuk pinjaman perumahan meningkat, sekali gus menyukarkan penjawat awam memiliki rumah.

Disiarkan pada: August 3, 2019 @ 7:27am
d