bisnes

Momentum positif

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Involve Asia, platform bersepadu bagi kempen pemasaran dan rakan perkongsian di rantau Asia mengukuhkan kedudukan dengan menjalin kerjasama rapat bersama beberapa organisasi pemasaran dan pengiklanan utama.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jimmy How berkata, pihaknya juga ketika ini berada pada momentum yang positif sebagai penyedia penyelesaian pemasaran gabungan terkemuka di rantau ini.

Beliau berkata, antaranya termasuk menarik lebih banyak rakan perkongsian utama untuk menyertai platform bersepadu dalam industri pemasaran di peringkat global.

“Ini membuktikan pemasaran sekutu bakal menjadi pemangkin utama pada masa depan untuk pengiklanan digital dan kami bersedia untuk maju ke hadapan, seterusnya menjadi peneraju industri.

“Malah, kami percaya dengan membina ekosistem pengiklan dan rakan pemasaran yang cekap di platform Involve Asia serta menyediakan keperluan tertentu, ia dapat membantu mereka meneroka kaedah baru dalam dunia pemasaran ini.

“Sebagai contoh, beberapa tahun lalu, pemasaran pempengaruh adalah lebih tertumpu kepada penajaan. Bagaimanapun, pada hari ini pempengaruh antara segmen rakan pemasaran yang paling pesat berkembang di platform kami,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini.

Berdasarkan statistik, industri pemasaran sekutu menunjukkan pertumbuhan yang konsisten dan perbelanjaan sektor itu di Amerika Syarikat (AS) diunjurkan bakal mencecah sehingga AS$6.8 bilion (RM28 bilion) menjelang 2020.

Selain itu, dalam pasaran e-dagang yang lebih matang, pemasaran sekutu menyumbang sekitar 15 peratus daripada jumlah jualan di laman web e-dagang.

Bagaimanapun, How berkata, bagi rantau Asia, jumlah itu hanya berlegar antara dua hingga tiga peratus, membuktikan pihaknya mempunyai peluang pasaran yang boleh dianggap signifikan kepada platform itu.

“Walaupun kami mempunyai lebih 500 pengiklan utama di rantau Asia Tenggara, prospek untuk industri ini kekal kukuh dan positif memandangkan kebanyakan syarikat mula beralih kepada medium dalam talian,” katanya.

Involve Asia turut mendapat bantuan dan sokongan pihak kerajaan menerusi geran serta pelaburan daripada Cradle Fund dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Disiarkan pada: August 5, 2019 @ 10:32am
d