bisnes

Ignatius ke TNG Digital

Oleh Nabil Basaruddin

TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital), syarikat usaha sama Touch 'n Go Sdn Bhd dan Ant Financial Services Group melantik Ignatius Ong sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu, berkuat kuasa 12 Ogos ini.

Pengerusi TNG Digital, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, Ignatius akan menggantikan Syahrunizam Samsudin yang kembali semula ke jawatannya sebagai CEO Touch ‘n Go.

Beliau berkata, syarikat itu berbesar hati mengalu-alukan kehadiran Ignatius untuk menyertai antara syarikat yang paling pantas berkembang di Malaysia.

“Ignatius berpengalaman luas untuk mengisi jawatan berkenaan dan dengan mandat yang diberikan, beliau mampu untuk mengukuhkan kedudukan jenama ini sebagai jenama nombor satu segmen itu di Malaysia.

“Malah, ia juga secara langsung dapat membantu menyokong agenda komuniti tanpa tunai di negara ini,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

TNG Digital kini sedang berusaha dalam mewujudkan ekosistem tanpa tunai nombor satu di Malaysia bagi memenuhi keperluan masyarakat digital yang sentiasa berubah menerusi platform pembayaran digital, Touch ‘n Go eWallet.

Sementara itu, Ignatius mempunyai pengalaman yang luas selama 15 tahun dalam syarikat penerbangan dan jawatan terkininya sebelum menyertai TNG Digital adalah sebagai Ketua Pegawai Pemerolehan di Malaysia Airlines.

Sebelum itu, beliau turut pernah bertugas sebagai CEO Firefly dari 2011 hingga 2018.

Untuk dua syarikat penerbangan itu, beliau bertanggungjawab untuk menerajui pelbagai bidang seperti pertumbuhan, perolehan dan pengurusan organisasi.

Disiarkan pada: August 5, 2019 @ 12:18pm
d