bisnes

Pusat 3S Honda pertama miliki GBI

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia membuka cawangan pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) terbaharu di Ipoh yang memiliki pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) dengan nilai pelaburan RM15 juta.

Pensijilan itu menjadikan pusat 3S yang dikendalikan Ban Hoe Seng (Auto) Sdn Bhd ini sebagai pusat pameran kereta pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan terbabit.

GBI ialah alat penarafan hijau untuk bangunan yang diiktiraf oleh industri di Malaysia dengan tujuan meningkatkan kesedaran mengenai isu alam sekitar dan mempromosikan kemapanan dalam persekitaran yang dibina.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, Ban Hoe Seng (Auto) sebagai satu daripada pengedar tertua Honda di Malaysia terus menarik perhatian dengan kejayaan mereka.

Menurutnya, pengedar yang memenangi anugerah itu kini menetapkan penanda aras baharu dengan menjadi yang pertama membina pusat 3S Honda mesra alam yang memaksimumkan kecekapan sumber dan memfokuskan kepada kemampanan bangunan.

“Kami yakin pusat 3S Honda mesra alam ini membolehkan pelanggan di Ipoh menikmati pengalaman terbaik dalam persekitaran yang lebih kondusif,” katanya pada majlis pelancaran pusat 3S Honda di Ipoh.

Pusat 3S Honda terbaharu ini dibina atas tanah seluas 0.809 hektar dengan menawarkan kemudahan terkini bagi keselesaan pelanggan termasuk 19 ruang yang terdiri daripada 14 ruang servis umum, empat ruang baik pulih umum dan satu ruang penyelenggaraan tayar yang dapat menampung sehingga 60 kereta sehari.

Sementara itu, Honda Malaysia mengumumkan syarikat itu mencatatkan lebih daripada 44,200 unit pada separuh pertama 2019.

Rekod itu membolehkan Honda Malaysia mengekalkan kedudukan pertama dalam kenderaan bukan nasional dan kedua dalam Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dan menyumbang 15.3 peratus dalam TIV.

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 10:56am
d