bisnes

50% sudah dicapai

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

MIDEA Scott & English Electronics Sdn Bhd (Midea) optimis untuk mencapai sasaran jualan sebanyak RM430 juta tahun ini terutama disumbangkan oleh segmen penyaman udara.

Pengurus Besarnya, Mark Tam berkata, pihaknya berada di landasan tepat berikutan setakat Jun 2019, lebih kurang 50 peratus nilai disasarkan dicapai.

Katanya, tahun lalu syarikat merekodkan nilai jualan RM323 juta dan pertumbuhan konsisten setiap tahun.

“Dalam tempoh lima tahun ini, Midea mencatatkan kadar pertumbuhan purata terkumpul (CAGR) Midea sebanyak 30 peratus.

“Malaysia adalah pasaran unik untuk Midea di mana kami mengeluarkan pelbagai produk perkakasan rumah.

“Hingga kini Midea mempunyai 250 unit simpanan stok (SKU) bagi pasaran di seluruh negara,” katanya pada taklimat media di sini, semalam.

Tam berkata, penyaman udara adalah penyumbang terbesar kepada jumlah jualan iaitu RM180 juta direkodkan tahun lalu dan RM20 juta daripadanya segmen penyaman udara komersial.

Menurutnya, Midea menjangkakan segmen komersial berkembang dengan cepat dan pihaknya akan memberi fokus kepada pembangunan produk penyaman udara kerana mempunyai pasaran yang besar.

Beliau berkata, jenama Midea terkenal di pasaran luar seperti Eropah, Russia dan Timur Tengah terutama dalam segmen penyaman udara

Tahun lalu, kumpulan Midea merekodkan perolehan AS$36.9 bilion (RM154.52 bilion) bagi pasarannya di seluruh dunia dan 3.6 peratus daripadanya dibelanjakan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk.

Disiarkan pada: August 7, 2019 @ 12:49pm
d