bisnes

Ikut saranan Waze, elak sesak

Oleh Sofyan Rizal Ishak

WAZE, aplikasi pandu arah dan lalu lintas masa sebenar menjangkakan peningkatan sehingga 39 peratus bagi pengguna aktifnya yang berada di jalan raya sepanjang minggu hadapan berbanding minggu biasa.

Situasi itu adalah berdasarkan data Waze pada tahun lalu dan bersempena cuti persekolahan yang bermula pada 9 dan 10 Ogos ini serta diikuti cuti Hari Raya Aidiladha pada 11 Ogos.

“Hujung minggu yang panjang pada musim cuti sekolah ini bermakna lebih peluang kepada orang ramai untuk mengambil cuti singkat untuk bersama keluarga dan rakan.

“Bagaimanapun, hujung minggu yang dilanjutkan itu turut bermaksud berlaku kesesakan trafik sama ada di dalam dan luar bandar,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Waze berkata, pihaknya juga menjangkakan peningkatan bagi navigasi ke stesen petrol di mana jumlah itu dijangka meningkat 38 peratus pada Hari Raya Aidiladha berbanding Julai lalu.

“Cuti panjang bersamaan dengan lebih banyak perjalanan di jalan raya dan bermakna lebih banyak kenderaan akan berhenti di stesen petrol untuk perjalanan yang jauh dari bandar,” katanya.

Aplikasi itu juga menjangkakan peningkatan 95 peratus bagi laluan arah berkaitan makanan terutama makanan segera berdasarkan cuti persekolahan tahun lalu yang sama dengan Hari Raya Aidiladha.

“Dalam masa sama, pusat beli-belah akan menyaksikan peningkatan aliran dalam navigasi dalam tempoh masa sama,” katanya.

Sementara itu, Waze mencadangkan pengguna untuk membiarkan aplikasi berfungsi ketika memandu bagi mendapatkan data trafik masa sebenar untuk mengukur masa pemanduan mereka dengan lebih tepat.

Menurutnya, pengguna juga disarankan melihat laluan alternatif di Routes bagi membantu pengguna menyemak laluan mana yang menawarkan masa ketibaan lebih pantas.

“Sebagai alternatif, pengguna boleh memilih laluan yang lebih selesa atau biasa termasuk laluan yang tidak dikenakan tol,” katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2019 @ 4:58pm
d