bisnes

Beli tanah rm61 juta

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) meningkatkan jumlah bank tanahnya menerusi pembelian tanah ketiganya pada tahun ini di Wangsa Melawati dengan keluasan 1.83 hektar bernilai kira-kira RM61.97 juta.

Pengarah Urusan Kumpulannya Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, tanah yang diambil alih itu adalah untuk pembangunan kediaman sebagai usaha untuk memenuhi keperluan pasaran kediaman di lokasi matang yang memiliki permintaan tinggi.

Beliau berkata, pembangunan kediaman mampu milik itu dikenali sebagai M Adora yang membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM378 juta dan tempahan bakal dibuka pada suku keempat 2019.

“M Adora menawarkan unit mampu milik dengan keluasan dari 850 kaki persegi dengan harga bermula RM468,000.

“Berdasarkan pelan awal, kami akan membangunkan dua blok kediaman mampu milik dengan pembinaannya dalam tempoh empat tahun,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

M Adora terletak hanya 800 meter dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) serta turut memiliki akses terus dari Jalan Wangsa Melawati 1.

Pembelian tanah di Wangsa Melawati itu juga dibuat selepas dua pembelian sebelum ini iaitu M Oscar di Kuchai Lama dan M Luna di Kepong yang turut menerima kelulusan pihak berkuasa.

Leong berkata, tiga pengambilalihan tanah pada tahun ini membolehkan pemaju hartanah itu bersedia untuk pembangunan segera dan meneruskan rekod kumpulan membangunkan kediaman mewah mampu milik di lokasi strategik.

“Kami masih meninjau tanah di lokasi strategik khususnya di Lembah Klang,” katanya.

Menurutnya, langkah pengembangan yang dilaksanakan itu disokong lembaran imbangan yang sihat dengan tunai dan baki simpanan sebanyak RM1.3 bilion untuk suku tahun berakhir 31 Mac 2019.

Disiarkan pada: August 10, 2019 @ 7:39am
d