bisnes

Pizza Hut perkenal Durian Cheese Pizza

Oleh hmetro

PIZZA Hut Malaysia (Pizza Hut) memperkenalkan piza terbaharunya, Durian Cheese Pizza yang menggabungkan keenakan rasa keju dan raja buah kegemaran ramai itu.

Ciptaan istimewa yang bakal mencetuskan fenomena tersendiri ini boleh didapati di semua rangkaian restoran Pizza Hut dan konsep penghantaran seluruh negara sehingga 30 September, sementara stok masih ada.

Ketua Pizza Hut Malaysia, Loi Liang Tok berkata, Durian Cheese Pizza mengetengahkan kesungguhan Pizza Hut untuk berkongsi rasa dan senyuman kepada semua lapisan masyarakat.

“Kami berbangga menjadi jenama yang dapat berkongsi rasa dan menghubungkan orang ramai menerusi keenakan piza yang dihasilkan.

“Kesungguhan kami terbukti dengan pengolahan resipi yang mengangkat dua perisa kegemaran yang amat dekat di hati rakyat Malaysia.

“Menerusi kombinasi durian dan keju di dalam piza, ia memberi letusan rasa berkrim yang amat lazat,” katanya.

Durian Cheese Pizza boleh didapati secara à la carte bermula pada harga RM44.50 dan pilihan kombo di restoran dan penghantaran Pizza Hut.

Disiarkan pada: August 12, 2019 @ 7:31am
d