bisnes

Cipta OS mikrokernel

Oleh Sofyan Rizal Ishak

HUAWEI, gergasi teknologi dari China memperkenalkan HarmonyOS iaitu sistem operasi (OS) berasaskan mikrokernel baharu yang direka untuk menawarkan pengalaman pengguna terbaik merentasi semua peranti dan senario.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perniagaan Penggunanya, Richard Yu berkata, situasi terkini menyaksikan orang ramai menjangkakan pengalaman pintar holistik yang merentasi semua peranti dan senario.

Menurutnya, syarikat berpendapat penting untuk memiliki OS yang memiliki keupayaan platform rentas lebih baik bagi mencapai matlamat terbabit.

“Kami memerlukan OS yang menyokong semua senario dan boleh digunakan merentasi pelbagai platform dan peranti serta memenuhi permintaan pengguna untuk latensi rendah dan keselamatan lebih kukuh,” katanya pada pelancaran OS itu sempena Persidangan Pemaju Huawei di China, baru-baru ini.

Beliau berkata, HarmonyOS berbeza daripada Android dan iOS kerana ia berasaskan mikrokernel yang memberi pengalaman lancar merentasi semua senario.

“Ia mempunyai seni bina yang boleh dipercayai dan selamat serta menyokong kerjasama lancar merentasi peranti. Anda boleh membangunkan aplikasi anda sekali, kemudian fleksibel menggunakannya merentasi pelbagai peranti berbeza,” katanya.

Richard berkata, HarmonyOS 1.0 akan digunakan buat kali pertama bagi produk skrin pintarnya yang bakal dilancarkan pada tahun ini.

“Dalam tempoh tiga tahun akan datang, HarmonyOS 1.0 ini juga akan dioptimumkan dan digunakan secara berperingkat merentasi siri produk peranti pintar termasuk peranti boleh dipakai, Huawei Vision dan unit kepala bagi kereta,” katanya.

Beliau berkata, Huawei akan menjadikan HarmonyOS sebagai platform sumber terbuka di seluruh dunia bagi menggalakkan penggunaan yang lebih meluas pada masa depan.

Menurutnya, Huawei juga akan mewujudkan asas dan komuniti sumber terbuka bagi menyokong kerjasama yang lebih mendalam dengan pemaju.

“Pada masa depan, kami akan menetapkan asas bagi HarmonyOS di pasaran China berikutan negara ini adalah pusat kepada ekosistem aplikasi kukuh dan pangkalan pengguna terbesar sebelum mengembangkan kepada ekosistem global.

“Apa paling penting, HarmonyOS akan membawa faedah baharu yang luar biasa kepada pengguna, vendor peralatan dan pemaju,” katanya.

Disiarkan pada: August 13, 2019 @ 7:54am
d