bisnes

SME Bank optimis tingkat prestasi

Oleh hmonline

SMALL Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) optimis mampu untuk mencatatkan peningkatan prestasi perniagaan lebih baik pada tahun ini berbanding tahun lalu dipacu melalui pelaksanaan pendekatan baharu bagi sepanjang 2019.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aria Putera Ismail berkata, pendekatan baharu itu menyaksikan bank terbabit bakal mengubah pendekatan daripada aspek penyaluran pembiayaan secara perbankan konvensional kepada ‘melangkaui perkhidmatan pembiayaan’.

Menurutnya, pendekatan yang bakal disokong kebanyakan agensi kerajaan itu penting kerana ia bukan saja akan memberi impak kepada perusahaan kecil sederhana (PKS) dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) malah meningkatkan pertumbuhan aset SME Bank pada masa depan.

“Sebelum ini, kami menyalurkan pembiayaan kepada PKS tanpa pelaksanaan strategi tepat namun kali ini kami akan mengenalpasti dan memberi fokus kepada kelebihan di negeri yang didiami PKS sebelum memberikan pembiayaan.

“Kami bakal memperkenalkan beberapa pembaharuan daripada aspek produk dan pengoptimuman kos termasuk daripada aspek cawangan bagi memaksimumkan kos serta menyediakan perkhidmatan lebih baik dengan fokus yang lebih menyeluruh,” katanya.

Katanya, pelaksanaan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 9 (MFRS 9) pada tahun lalu akan menjadi penetapan semula kepada semua bank termasuk SME Bank untuk mencatatkan prestasi lebih baik pada tahun ini dengan perolehan lebih sihat dan peningkatan keuntungan.

“Kami positif dengan prospek untuk tahun ini dan menjangkakan mampu untuk mencatatkan jumlah hasil dan keuntungan lebih tinggi dan melangkaui tahap pada tahun lalu dan sebelum ini melalui pendekatan baharu dan pelaksanaan tranformasi digital kami,” katanya.

Mengulas sasaran pembiayaan pada tahun ini, Aria berkata, SME Bank menyasarkan untuk meluluskan pembiayaan berjumlah RM3.5 bilion pada tahun ini dipacu melalui pelaksanaan pendekatan lebih fokus dan strategik.

Dalam masa sama, bank itu berjaya meningkatkan tahap perniagaan dalam kalangan PKS membabitkan seramai 370 pelanggan PKS pada tahun lalu berbanding 245 PKS pada 2017.

Pada masa ini, SME Bank memiliki 28 rangkaian cawangannya yang terdiri daripada tujuh pusat wilayah, 18 pusat enterpris dan tiga pusat perniagaan.

Disiarkan pada: August 13, 2019 @ 8:07am
d