bisnes

Kerajaan kaji cukai lapangan terbang [METROTV]

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri dan Siti A’isyah Sukaimi

KERAJAAN akan melihat semula struktur cukai lapangan terbang yang disifatkan tidak begitu adil untuk penumpang syarikat penerbangan tambang rendah dan penerbangan perkhidmatan penuh.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedang mengkaji mengenai struktur percukaian ini dan akan meneliti semula kadar yang dikenakan.

“Ketika ini, kita mengenakan satu peringkat cukai untuk semua penumpang dan ia sebenarnya tidak adil.

“Kita kenakan caj yang sama untuk semua orang sedangkan semua orang adalah berbeza,” katanya pada sesi lawatan rasmi ke RedQ AirAsia di Sepang, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz.

Menurutnya, kadar cukai yang dikenakan perlu mengambil kira faktor kos dan kadar tambang memandangkan setiap penumpang membayar jumlah yang berbeza.

“Jika mereka menggunakan pesawat tambang rendah, adalah tidak adil jika mereka dikenakan cukai lapangan terbang sama sebagaimana mereka yang terbang dengan pesawat lebih mahal (premium),” katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 6:37pm
d