bisnes

Dego Ride setuju!

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

PENYEDIA perkhidmatan teksi motosikal tempatan, Dego Ride berbesar hati sekiranya kerajaan mahu pihaknya bekerjasama dengan Gojek dalam merancakkan perkhidmatan teksi motosikal.

Pengasasnya, Nabil Feisal Bamadhaj berkata, apa yang paling penting, perkhidmatan seumpama itu akan memberi manfaat kepada negara dan pemain tempatan.

“Kami juga sangat positif bahawa kerajaan dan kementerian berkaitan menyokong bakat tempatan.

“Sejak 2016, kami sudah bekerjasama dengan beberapa kementerian yang akhirnya berjaya membawa kepada berita baik ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melalui video yang dimuat naik di akaun Twitternya hari ini memaklumkan mengenai persetujuan Kabinet untuk meluluskan Modal Ekonomi Gojek - Dego Ride.

Nabil berkata, pihaknya gembira dengan pengumuman yang dibuat dan berpendapat ia adalah langkah bijak untuk bekerjasama dengan pengendali teksi motosikal dari Indonesia itu.

Katanya, pihaknya juga bersedia memenuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan untuk memulakan semula operasinya secepat mungkin.

“Kami sedia maklum mengenai kebimbangan kementerian dan orang ramai berkaitan isu keselamatan terutama membabitkan aktiviti menunggang dan membonceng motosikal.

“Kami bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dalam menghasilkan polisi atau rangka kerja berkaitan.

“Ia mungkin meliputi pendaftaran penunggang motosikal, pakaian seragam atau jenis motosikal yang boleh digunakan.

“Kami juga pentingkan semua aspek kerana keselamatan penunggang dan pembonceng adalah keutamaan kami,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Dego Ride mula diperkenalkan sejak 2016 dengan kadar tambang serendah RM2.50. Ia mengehadkan perjalanan sejauh tiga kilometer (km) setiap trip sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun, pada Januari 2017, Kementerian Pengangkutan melalui timbalan menterinya ketika itu, Datuk Abdul Aziz Kaprawi memaklumkan bahawa kementerian tidak pernah mengeluarkan lesen kepada pengendali perkhidmatan teksi menggunakan motosikal kerana ia melanggar undang-undang jalan raya di negara ini.

Katanya, penggunaan motosikal sebagai teksi bukan saja menyalahgunakan lesen kenderaan persendirian, malah melanggar Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 8:28pm
d