bisnes

Jika ada aduan, kami bertindak - KPDNHEP

Oleh Sofyan Rizal Ishak

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjelaskan tiada sebarang tindakan penguatkuasaan dilakukan bagi penggunaan tulisan jawi pada pembungkusan produk yang dihasilkan pengusaha bukan beragama Islam setakat ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaannya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, tiada sebarang akta khusus diwujudkan bagi melarang penggunaan tulisan itu dan pihaknya juga tidak menerima aduan daripada pengguna mengenai perkara terbabit.

“Kami terbuka mengenai perkara ini dan ia terpulang kepada rakyat. Jika terdapat aduan mengenainya maka pihak kami akan bertindak,” katanya kepada Harian Metro di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai gesaan Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED) yang menggesa kerajaan untuk membawa akta khas ke Parlimen bagi melarang penggunaan tulisan jawi atau imej yang menunjukkan produk itu dihasilkan pengusaha beragama Islam sedangkan ia sebenarnya keluaran bukan Islam.

Presiden MCED, Datuk Nazilah Idris berkata, tulisan jawi yang disalah guna akan mengelirukan pengguna dengan status halal sesuatu produk.

"Kami berharap perkara ini diberi perhatian serius oleh kerajaan dan kami menggesa mereka untuk bertindak kerana ia didapati pernah disalah gunakan.

"Ia seolah-olah tulisan jawi itu digunakan untuk mensucikan kandungan yang tidak halal dan ini mengelirukan pengguna,” katanya.

Sementara itu, Iskandar menegaskan tiada persamaan antara penggunaan tulisan jawi pada pembungkusan produk yang dihasilkan pengusaha bukan beragama Islam dan penggunaan ayat suci Al-Quran oleh pengusaha restoran mamak.

“Ia adalah dua situasi yang berbeza di mana kami mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap segelintir pengusaha restoran mamak kerana mereka jelas memberi gambaran salah mengenai status halal makanan mereka kepada pengguna Muslim dengan menggunakan paparan ayat suci Al-Quran meskipun mereka bukan beragama Islam,” katanya.

Dalam perkembangan sama, syarikat bukan Islam yang tidak mempunyai sijil halal namun, menggunakan tulisan jawi pada pembungkusan produk untuk tujuan mengelirukan pengguna boleh diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011).

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, larangan itu sudah termaktub dalam undang-undang dan pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan.

"Kalau syarikat itu (bukan Islam) sudah memiliki sijil halal yang sah daripada Jakim tidak ada masalah.

"Apa yang menjadi masalah adalah apabila syarikat bukan Islam yang tidak memohon serta memiliki sijil halal mengambil kesempatan dengan tujuan untuk mengelirukan pengguna Islam," katanya.

-TAMAT-

Disiarkan pada: August 22, 2019 @ 6:21pm
d