bisnes

Bentang kertas kerja lebuh raya bertol

Oleh Nabil Basaruddin

KERAJAAN masih lagi dalam proses penilaian kebolehlaksanaan mengenai cadangan Maju Holdings Sdn Bhd (Maju Holdings) untuk mengambil alih Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, pihaknya ada menerima kertas cadangan secara rasmi daripada pihak Maju Holdings, yang mana cadangan itu termasuklah tawaran menarik yang membabitkan pengurangan kadar tol.

Bagaimanapun, katanya, pihak kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan mengenai hal terbabit atau cadangan lain berkenaan pengambilalihan mana-mana lebuh raya bertol di negara ini.

“Dalam masa terdekat, Kementerian Kerja Raya akan membentangkan Kertas Kerja Hala Tuju Lebuh Raya Bertol di Malaysia pada mesyuarat Kabinet pada awal bulan depan.

“Pembentangan kertas kerja ini adalah berdasarkan kepada laporan muktamad yang disediakan oleh perunding bebas pada Januari tahun ini.

“Hanya selepas keputusan Kabinet dibuat, kerajaan akan mempertimbangkan semua cadangan mengenai pengambilalihan lebuh raya bertol di negara ini, termasuklah tawaran oleh Maju Holdings terhadap PLUS,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 22 Ogos lalu berkata, kerajaan masih belum membuat keputusan mengenai cadangan Maju Holdings-PLUS, atau apa-apa cadangan lain mengenai pengambilalihan mana-mana lebuh raya bertol.

PLUS yang dibina pada lewat 1980-an adalah lebuh raya yang meliputi jarak sepanjang 772 kilometer (KM) menjadikan ia lebuh raya terpanjang di negara ini.

Malah, PLUS juga adalah syarikat konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia, yang beroperasi dan mengendalikan lapan lebuh raya di bawah lima konsesi.

Syarikat lebuh raya itu ketika ini dimiliki oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) melalui UEM Group Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Khazanah mempunyai 51 peratus pemilikan dalam PLUS manakala, KWSP memiliki baki selebihnya, iaitu 49 peratus kepentingan.

Dalam laporan sebelum ini, kerajaan menerima kertas cadangan baharu bagi mengambil alih 15 lebuh raya termasuk PLUS pada harga keseluruhan RM43 bilion.

Seterusnya, Khazanah akan mewujudkan sebuah syarikat khas (SPV) sebagai pemegang amanah lebuh raya yang akan bertindak bagi pihak kerajaan untuk membeli semua konsesi.

Bagaimanapun, Dr Mahathir sebelum ini berkata, tol tetap perlu dikenakan kerana pengendali memerlukan wang untuk menyelenggara lebuh raya.

Disiarkan pada: August 26, 2019 @ 12:06pm
d