bisnes

Perluas pasaran

Oleh Lizam Ridzuan

PETALING JAYA: Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) bakal melancarkan dua model baharu tahun ini dalam usaha untuk mencapai sasaran perkongsian pasaran segmen motosikal street kepada 50 peratus.

Ketua Pegawai Operasinya, Roslan Roskan berkata, model baharu daripada segmen moped dan street itu bakal menjadi faktor utama dalam memperluas pasaran jenama itu yang ketika ini berada sekitar 30 peratus.

“Segmen motosikal street model Modenas Pulsar dan Dominar D400 kini terjual hampir 10,000 unit yang dicatatkan sehingga Ogos tahun ini.

“Jumlah ini adalah sasaran jualan yang ditetapkan sejak ia dilancarkan pada 2017 dan 2018 yang mana ia mendapat sambutan menggalakkan, ” katanya pada majlis pembukaan cawangan utama Modenas, Modenas Power Store di sini, semalam.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan itu, ia disumbangkan melalui model Pulsar sebanyak 8,000 unit yang dijual pada harga sekitar RM9,300 (NS200) dan RM11,500 (RS200) dan bakinya untuk Dominar D400 pada harga RM15,488.

Antara faktor utama motosikal street hasil kerjasama dengan Bajaj Auto Limited (BAL) itu mendapat sambutan menggalakkan ialah kerana kualiti dan prestasi serta alat ganti serta harga yang berpatutan.

Dalam pada itu, Roslan berkata, Modenas Power Store yang terletak di Kota Damansara itu adalah pusat sehenti yang pertama seumpamanya di rantau Asean menawarkan khidmat pembaikan, baik pulih, binaan khas, alat ganti asli dan aksesori.

Selain menyediakan sesi tunggang uji, pelanggan juga akan dibantu untuk penyediaan pembiayaan bagi pembelian motosikal Modenas.

“Ruang konsep ini bakal diperluas ke Pulau Pinang dan Johor Bahru serta Pantai timur bagi memberikan lebih kemudahan kepada pengguna motosikal Modenas di negara ini tidak lama lagi,” katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2019 @ 6:41am
d