bisnes

Abdul Rahman akan ke Sime Darby

Oleh Nabil Basaruddin

SIME Darby Berhad (Sime Darby) mengumumkan pelantikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad sebagai Pengerusi berkuat kuasa 31 Oktober ini.

Pelantikan Abdul Rahman, 50, itu adalah bagi menggantikan Pengerusi Kumpulan Sime Darby, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah yang akan bersara disebabkan masalah kesihatan.

Selain itu, Abdul Rahman juga akan menyertai Lembaga Pengarah Sime Darby sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa pada 1 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, barisan Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan kanan syarikat mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Wan Aziz atas kepimpinan dan sumbangan bernilainya selama ini.

“Kami bersedia dan mengalu-alukan peralihan kepimpinan Lembaga Pengarah di bawah teraju Abdul Rahman,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Wan Abdul Aziz menyertai kumpulan itu pada 2012 sebagai Lembaga Pengarah dan menganggotai beberapa jawatankuasa Lembaga Pengarah sebelum dilantik menerajui syarikat sebagai Pengerusi pada November 2017, berikutan proses penstrukturan semula.

Beliau mempunyai pengalaman yang meluas dengan memegang beberapa jawatan kanan di Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Malah, pada 2007, beliau turut dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan, iaitu jawatan yang disandangnya sehingga bersara pada 2012.

Sementara itu, sebelum menerajui kepimpinan Kumpulan PNB, Abdul Rahman turut memegang pelbagai jawatan seperti Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), syarikat ekuiti swasta berkaitan kerajaan.

Beliau juga pernah menjadi Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Berhad, kumpulan media bersepadu tempatan serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut berada dalam Lembaga Pengarah di Velesto Energy Berhad.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 2:07pm
d