bisnes

SUV Peugeot tingkat jualan Nasim

Oleh Lizam Ridzuan

NASIM Sdn Bhd, pengedar utama kenderaan jenama Peugeot di Malaysia menyasarkan jualan sebanyak 3,000 unit tahun ini berbanding 2,200 yang dicatatkan pada tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, Datuk Nik Hamdam Nik Hassan berkata, kenderaan utiliti sukan (SUV) itu bakal menyumbang sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan jualan.

“Sehingga Julai lalu kami sudah menjual lebih 1,200 unit kenderaan jenama Peugeot dan dengan pengenalan dua model SUV terbaharu ini, ia dijangka menyumbang kepada peningkatan angka jualan sehingga hujung tahun,” katanya pada majlis pelancaran model Peugeot 3008 SUV Plus dan 5008 SUV Plus di Petaling Jaya, semalam.

Sebagai model SUV jenama Eropah paling laris di negara ini, ia adalah bertepatan dengan perjanjian usahasama antara Naza Group dan Groupe PSA dalam mewujudkan Naza Automotive Manufacturing (NAM).

Melalui perjanjian itu, NAM yang terletak di Gurun, Kedah itu akan menjadi hab pemasangan kenderaan Peugeot di Asia Tenggara yang meliputi pembabitan pakar industri dan pertukaran teknologi dari Perancis.

“Dua model yang dipasang oleh NAM ini meliputi 70 peratus pasaran tempatan dan 30 peratus pengeluaran bakal dieksport ke Filipina, Thailand, Myanmar dan Kemboja tidak lama lagi,” katanya.

Model Peugeot 3008 SUV Plus dibina dengan prinsip rekaan dan teknologi termaju adalah pemenang Kereta Tahunan Terbaik Eropah 2017 dan Kereta Terbaik Institut Automotif Malaysia 2018.

Peugeot 5008 SUV Plus pula adalah SUV segmen-C dengan tujuh tempat duduk yang menawarkan ruang dan ciri praktikal. Ia turut menerima beberapa anugerah SUV terbaik di negara ini.

Kedua-duanya didatangkan dengan bumbung panorama serta rim aloi 18 inci dua tona kemasan corak berlian serta Peugeot i-Cockpit baharu dengan skrin warna sesentuh lapan inci pelbagai fungsi.

Model-model ini dijana enjin 1,598cc Twin Scroll Turbo High Pressure (THP) dengan Suntikan Petrol Terus, DOHC, 16 injap serta Pemasaan Injap Boleh Ubah (VVT) mampu menghasilkan kuasa 167PS pada 6,000rpm dan tork sehingga 240Nm daripada 1,400rpm.

Untuk Peugeot 3008 SUV Plus baharu, ia dijual pada harga RM150,888 (Active) dan RM163,888 (Allure) manakala, Peugeot 5008 SUV Plus baharu dijual masing-masing pada harga RM166,888 dan RM179,888 untuk varian Active dan Allure.

Ia didatangkan dengan empat pilihan warna serta tambahan warna baharu Metallic Cooper (3008 SUV Plus) dan Emerald Crystal (5008 SUV Plus).

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 2:19pm
d