bisnes

RM1 bilion untuk PKS

Oleh Sofyan Rizal Ishak

KUALA LUMPUR: BIMB Holdings Berhad (BHB) melalui Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memperuntukkan pembiayaan berjumlah RM1 bilion tahun ini bagi memenuhi keperluan kewangan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed berkata, jumlah itu adalah pembiayaan paling tinggi ditawarkan Bank Islam berbanding RM500 juta yang disalurkan pada tahun lalu sejak ia memulakan fokusnya terhadap segmen PKS pada tempoh sama.

“Pada tahun lalu, kami mengambil keputusan untuk mengembangkan segmen PKS selepas melakukan aktiviti penstrukturan semula dengan menubuhkan bahagian perbankan PKS bagi memberi lebih fokus kepada segmen ini.

“Kami menjangkakan segmen PKS ini mencatatkan peningkatan pertumbuhan kepada 10 hingga 12 peratus pada tahun ini,” katanya pada majlis taklimat media prestasi kewangan separuh pertama BHB di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya bakal memperkenalkan dua produk pembiayaan PKS baharu selepas ini dalam usaha memenuhi pelbagai keperluan dalam kalangan PKS.

“Pada minggu depan, kami bakal memperkenalkan satu produk khusus bagi memenuhi keperluan golongan tertentu di mana ia akan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Selain itu, kami bakal memperkenalkan satu lagi produk pembiayaan khusus kepada syarikat bersaiz kecil tidak lama lagi selepas memperkenalkan produk dikenali SME Biz Grow pada awal tahun ini,” katanya.

Sehingga kini, Bank Islam sudah menyalurkan pembiayaan kepada 4,500 pelanggan.

Mengulas mengenai aktiviti penstrukturan semula BHB, Muazzam berkata, proses yang dicadangkan itu bakal lengkap pada tahun ini dan sedang mendapatkan kelulusan kawal selia bagi perkara itu.

“Pelan itu ada di sana dan sudah dipersetujui oleh pihak lembaga di mana ia kini dalam fasa mendapatkan kelulusan diperlukan,” katanya.

Sementara itu, BHB mencatatkan peningkatan sebanyak 21.5 peratus atau RM109.7 juta kepada RM620.6 juta bagi keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) untuk tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2019 berbanding tempoh masa sama tahun lalu.

Kumpulan Bank Islam pula mencatatkan peningkatan PBZT sebanyak 9.2 peratus atau RM36.7 juta kepada RM437.4 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh masa sama tahun lalu.

Disiarkan pada: August 29, 2019 @ 7:15am
d