bisnes

IBS 2019 tarik minat pempamer luar negara

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KUALA LUMPUR: Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia Ke-16 (IBS 2019) yang akan berlangsung pada 12 hingga 14 Disember 2019 berjaya menarik minat pempamer luar negara.

Presiden Persatuan Perniagaan Promas Antarabangsa Malaysia (Promas), Datuk Chong Chong Tik berkata, setakat ini IBS 2019 menerima penyertaan dari New Zealand, China, Sepanyol, Poland, Jepun dan Korea.

Katanya, pameran yang masuk tahun ke-16 itu dijangka memberi peluang bukan saja kepada syarikat antarabangsa, malah syarikat tempatan mempromosikan produk keluaran mereka.

“Pada pameran tahun lalu, antara produk yang dipamerkan adalah dalam kategori perkakasan rumah, fesyen, aksesori, kesihatan, kecantikan, makanan dan minuman.

“Buat julung kalinya, kami turut mengetengahkan produk minyak masak di IBS 2019 dan ia dijangka menjadi tarikan utama sepanjang pameran ini,” katanya kepada Bisnes Metro di taklimat media, semalam.

Chong berkata, pihaknya menyediakan lebih kurang 120 tapak pameran bagi produk minyak masak.

Menurutnya, pengunjung dapat menyaksikan sendiri pelbagai jenis produk minyak masak daripada sumber seperti bunga matahari, soya dan biji bijan yang baik untuk kesihatan pengguna.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan lebih 10,000 pengunjung akan hadir ke IBS 2019 yang bakal diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selama tiga hari.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 6:27am
d