bisnes

Rundingan babit 14 entiti besar

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd (Axiata) yakin usaha untuk memuktamadkan perjanjian bagi penggabungan mega bersama Telenor ASA dapat dicapai pada November nanti.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, rundingan penggabungan itu membabitkan tempoh antara tiga hingga enam bulan yang mana ketika ini ia berada pada fasa bulan keempat selepas pengumumannya pada Mei lalu.

Katanya, perjalanan ke arah penggabungan terbabit adalah pada landasan tepat, malah tempoh masa yang panjang dalam menyelesaikan rundingan adalah disebabkan banyak perkara perlu diberi penelitian dan perhatian.

“Penggabungan ini adalah satu proses yang begitu kompleks kerana ia membabitkan 14 entiti besar yang mempunyai kehadiran di sembilan negara.

“Malah, lebih 100 individu terbabit dalam usaha ini seperti peguam, bank dan pihak perunding, jadi sudah tentu banyak perkara perlu diperhalusi serta diteliti sepenuhnya.

“Sekiranya penggabungan mega ini berjaya, ia adalah penggabungan serta pengambilalihan tunggal terbesar dalam sejarah di rantau ini kecuali Asia Utara sejak 20 tahun lalu,” katanya pada sidang media selepas taklimat prestasi suku kedua Axiata di sini, semalam.

Pada suku kedua berakhir 30 Jun lalu, Axiata mencatat peningkatan margin perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) sebanyak 3.3 mata peratusan kepada 38.1 peratus.

Keuntungan sebelum cukai dan kepentingan minoriti (Patami) pula meningkat 12.2 peratus tahun ke tahun.

Jamaludin berkata, kajian usaha wajar bagi penggabungan itu setakat ini berada pada tahap kemajuan sebanyak 70 peratus sebelum ia siap sepenuhnya.

“Kajian itu antara lain membabitkan pembentangan, pendedahan maklumat, perjanjian serta kontrak sudahpun disiapkan.

“Apapun, segala rundingan yang berkaitan berjalan dengan lancar dan yakin ia dapat diselesaikan pada akhir bulan keenam seperti perancangan awal, pada November ini,” katanya.

Axiata dan Telenor pada Mei lalu mengumumkan bahawa mereka sedang berbincang mengenai potensi penggabungan aset telekomunikasi dan infrastruktur mereka di Asia.

Entiti gabungan itu dijangka akan menjadi pengendali terbesar di rantau Asia dengan 300 juta pelanggan mudah alih di sembilan negara.

Sementara itu, mengulas mengenai segmen perniagaan menara telekomunikasinya, edotco, Jamaludin berkata, banyak pihak menunjukan minat terhadap syarikat itu.

“Para pelabur mula menyatakan minat terhadap edotco, namun fokus kami ketika ini adalah mengekalkannya sebagai sebahagian daripada proses penggabungan yang sedang berjalan,” katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 6:44am
d